JAKARTA, 8 Mei – Kementerian Kesihatan Republik Indonesia (Kemenkes RI) menegaskan rakyat negara itu perlu mematuhi protokol mencegah penularan wabak COVID-19.
Menurutnya, rakyat Indonesia perlu mengambil iktibar dengan perkembangan COVID-19 yang berlaku di Malaysia dan India.
“Belajar dari India dan Malaysia, kita tentunya tidak ingin Indonesia mengalami hal yang sama,
“Masyarakat diimbau untuk semakin ketat menerapkan protokol kesihatan 3M dan kurang keluar rumah apabila tidak mendesak,” katanya dalam satu ciapan di Twitter pada 6 Mei lalu.
Dalam hantaran yang sama, Indonesia melaporkan penularan 3 varian COVID-19 di negara itu iaitu varian United Kingdom B.1.1.7, varian Afrika Selatan B.1.3.5.1 dan varian India B.1.6.1.7.
Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengesahkan varian United Kingdom dan Afrika Selatan telah dikesan menular di dalam komuniti.
Menurut beliau, varian Afrika Selatan telah dikesan di Negeri Sembilan, Kelantan, Perak, dan Lembah Klang.
Sementara itu, varian UK pula dikesan di Sandakan, Sabah.
Dalam sidang media yang diadakan pada hari ini, Noor Hisham turut mengesahkan varian India telah dikesan di pintu masuk sempadan negara dan pesakit telah berjaya diasingkan terlebih dahulu sebelum merebak ke dalam komuniti. – airtimes.my