PUTRAJAYA, 8 Mei – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini menyuarakan kebimbangan kewujudan 2 varian COVID-19 dalam komuniti tempatan.
Menurut beliau, antara varian yang dikesan adalah varian United Kingdom B.1.1.7 dan Afrika Selatan B.1351.
Noor Hisham menegaskan varian Afrika telah dikesan Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Lembah Klang.
Jelasnya, aktiviti rentas negeri menjadi punca varian B.1351 menular di Kelantan.
“Sebagai contoh, Kluster Kampung Bunut Sarang Burung melibatkan pelajar dan kakitangan sebuah pusat pendidikan,
“Kes indeks telah merentas negeri dan menghadiri majlis perkahwinan di Lembah Klang sebelum pulang ke Kelantan,” kata Noor Hisham.
Tambah Ketua Pengarah Kesihatan, varian Afrika Selatan turut dikesan dalam Kluster Jalan Canning Estate, Perak.
“Kes ini melibatkan pelayan perhubungan pelanggan di sebuah pusat hiburan dikesan menghidap varian Afrika Selatan,
“Kita percaya kluster ini masih banyak kes jangkitan berlaku dari varian ini,” ujar beliau.
Beliau turut menyatakan varian ini turut mencatatkan kes jangkitan semula pesakit COVID-19 yang sembuh di Negeri Sembilan.
Noor Hisham memberi amaran bahawa varian ini adalah ‘lebih ganas’ kerana mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi dan membawa maut.
Sehingga kini, terdapat 48 kes penularan tempatan melibatkan varian ini
Sementara itu, varian UK B.1.1.7 telah dikesan di Sandakan, Sabah.
“Setakat ini kita ada 8 kes varian UK melibatkan 3 penularan tempatan dan 5 kes import,
“Kita tak pasti bagaimana varian ini menjangkiti komuniti seperti di Kluster Lorong Megah Jaya,” katanya.
Terdahulu, Noor Hisham mengesahkan sebanyak 4,519 kes baharu dengan 25 kematian dicatatkan pada hari ini. – airtimes.my