Home Pertahanan dan Keselamatan Projek LCS lambat 2 tahun tetap diteruskan demi pekerja dan pembekal tempatan

Projek LCS lambat 2 tahun tetap diteruskan demi pekerja dan pembekal tempatan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengesahkan projek pembinaan Littoral Combat Ship (LCS) diteruskan.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat oleh Mesyuarat Jemaah Menteri pada 5 Mei lalu.

Tambahnya, Mesyuarat Jemaah Menteri juga telah menetapkan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Kumpulan Boustead.

Namun begitu, tiada sebarang syarat dinyatakan dalam kenyataan tersebut.

Ismail Sabri menjelaskan, keputusan tersebut diambil bagi menyelamatkan pekerja dan vendor tempatan.

“Dengan penerusan pembinaan tersebut oleh Kumpulan Boustead, ianya akan menyelamatkan 1,600  orang  pekerja  yang  terdiri  daripada  anak-anak tempatan,

“Ini turut melibatkan lebih daripada 400 syarikat vendor yang terdiri daripada PKS Bumiputera,” katanya.

Beliau menambah, penamatan projek LCS akan memberi kesan kepada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang merupakan pemegang saham di dalam Boustead Holdings Berhad.

“Secara  tidak  langsung  pencarum  yang  merupakan  anggota tentera akan menerima kesan sekiranya projek ini tidak diteruskan,

“Malah pihak bank yang memberi pinjaman kepada projek ini juga bakal kerugian kerana Boustead   Naval  Shipyard  tidak berkeupayaan membayar pinjaman,” ujarnya.

Pada Ogos lalu, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 melaporkan pihak pembekal gagal menyerahkan kapal LCS pertama kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang sepatutnya dilaksanakan pada April 2019. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply