Home Semasa Kita gagal tangani COVID-19, rombak semula Majlis Keselamatan Negara – Zaid Ibrahim

Kita gagal tangani COVID-19, rombak semula Majlis Keselamatan Negara – Zaid Ibrahim

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 7 Mei – Datuk Zaid Ibrahim hari ini menegaskan kerajaan perlu merombak semula Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam satu hantaran di akaun Facebooknya berkata, negara telah gagal menangani krisis COVID-19 yang telah melanda Malaysia semenjak 18 bulan lalu.

“Perdana Menteri mesti rombak semula MKN yang membuat dasar dan cara mengatasi COVID-19,

“Kita telah gagal dalam 18 bulan ini. Tak malu mengaku kelemahan diri. Ambillah kumpulan yang lain,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan dan MKN sepatutnya berterus terang kepada rakyat mengenai langkah dan serta keputusan yang diambil.

“Transparency (ketelusan), ini ertinya jelaskan berapa dos vaksin telah kita beli dan berapa lagi yang telah ditempah,

“Rakyat ingin tahu sama ada kita cukup vaksin. Tidak guna kita ada iklan di mana artis menyeru rakyat ambil suntikan vaksin kalau vaksin tidak cukup,” tegas Zaid.

Menurut beliau, harga vaksin perlu dinyatakan dan tidak perlu disembunyikan daripada rakyat.

“Semua ini tidak boleh sulit. Akta Rahsia bukan untuk merahsiakan perkara seperti ini. Apakah kita ada duit untuk setahun lagi?” soalnya.

Pada masa yang sama, beliau turut mencadangkan kerajaan hanya perlu melantik Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk menjadi jurucakap keputusan kerajaan dalam melaksanakan PKP.

“Tidak payahlah menteri-menteri lain keluar TV. Keputusan dasar dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mesti berteraskan fakta dan sains, bukan politik,

“Jangkitan lebih tinggi dari pekerja pembinaan jika dibandingkan dari restoran, mengapa makan di restoran tidak dibenarkan dan sektor pembinaan berjalan seperti biasa,

“Rakyat kena faham mengapa PKP membenarkan bazar Ramadan tetapi restoran mamak ditutup.

“MKN mesti objektif dan saintifik,” kata Zaid. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply