DAMANSARA, 4 Mei – Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sebulat suara bersetuju untuk menyertai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dengan menubuhkan Parti Kemakmuran Negara (KEMAKMURAN) untuk membela dan memperjuangkan nasib rakyat dan veteran tentera.
Pengerusi Jawatankuasa Induk Gerakan Parlimen 15.21, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) berkata, parti KEMAKMURAN akan meletakkan 50 calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 kelak.

Pengerusi Jawatankuasa Induk Gerakan Parlimen 15.21, Kapten Datuk Sharuddin Omar (Bersara) berkata, parti KEMAKMURAN akan meletakkan 50 calon di kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU-15 kelak. – Foto: Airtimes/Huda
“Kita telah mengenal pasti 50 kawasan, tetapi kita sedang di dalam kajian strategik bagi menempatkan calon-calon tersebut,
“Setakat ini kita mengambil peluang-peluang sedia ada dengan memberi keutamaan kepada kawasan yang mempunyai majoriti anggota tentera yang sedang bertugas, kem-kem dan tempat yang ramai veteran bermastautin,
“Berdasarkan situasi politik, kita pertimbangkan untuk bertanding di kawasan yang mana kita punya peluang untuk menang,” katanya pada sidang media “Veterans March to Parliament” (V4MP) di Hotel Royale Chulan, hari ini.
Beliau berkata, penglibatan veteran dalam perjuangan ini adalah atas dasar peribadi dan secara sukarela dengan tidak melibatkan mana-mana persatuan atau kelab veteran yang sedia ada.
“Ini kerana pematuhan terhadap Akta Veteran tahun 2012 (Akta 740) yang melarang persatuan dan kelab veteran dari telibat dalam aktiviti politik,” jelasnya.
Menurut Sharuddin, kerajaan tidak memandang serius terhadap semua perkara dan isu yang dituntut serta dikemukakan oleh veteran sebelum ini.
“Majoriti veteran berpendapat sudah tiba masanya veteran sendiri perlu memperjuangkan perkara dan isu-isu tersebut, serta platfrom yang terbaik dan terakhir adalah melalui Parlimen,
“Walaupun kelihatan terdapat usaha kerajaan untuk menangani perkara tersebut yang telah dikemukakan oleh veteran, namun kajian yang dikatakan telah dilaksanakan oleh kerajaan mengambil masa begitu lama sehingga melebihi 6 tahun,
“Oleh kerana tidak kelihatan kesungguhan oleh kerajaan untuk menyelesaikan perkara tersebut, maka veteran terpaksa mengambil jalan yang tidak menyalahi undang-undang sedia ada,” ujarnya.
Selain itu, beliau berkata usaha veteran selama ini tidak diberikan perhatian oleh kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan yang sering cuba menyamakan Perkhidmatan Tentera dengan Perkhidmatan Awam yang didapati bercanggah dengan Perlembagaan Malaysia, Akta ATM 1970 dan Akta Pencen 1980 (Akta 227).
Dalam pada itu, beliau berkata, veteran telah mengemukakan permohonan ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk menubuhkan parti KEMAKMURAN kira-kira dua bulan lepas dan berharap permohonan tersebut diluluskan sebelum PRU-15.
“Calon veteran yang akan bertanding pada PRU-15 sebagai calon Bebas sekiranya tidak diluluskan ROS,
“Pihaknya juga akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sehaluan dalam perjuangan membela nasib rakyat dan veteran,” jelasnya.

Letfenan Jeneral Nawi Alias TUDM (Bersara) menyifatkan penglibatan veteran tentera dalam politik hari ini sebagai hari yang bersejarah, kerana selama ini anggota tentera kekal tidak berpolitik sepanjang perkhidmatan. – Foto: AirTimes/Huda
Sementara itu, Letfenan Jeneral Nawi Alias TUDM (Bersara) menyifatkan penglibatan veteran tentera dalam politik hari ini sebagai hari yang bersejarah, kerana selama ini anggota tentera kekal tidak berpolitik sepanjang perkhidmatan.
“Apabila kami dalam tentera, kami berkhidmat untuk negara, Yang di-Pertuan Agong. Kami berkhidmat untuk kerajaan memerintah (government of the day). Kami kekal tidak berpolitik,
“Apabila kami bersara daripada angkatan tentera, ada berpendapat veteran patut kekal tidak berpolitik. Bagaimanapun, sesetengah masuk parti politik, itu tidak mengapa,
“Tetapi, julung-julung kali dalam sejarah, veteran bersatu untuk membentuk parti politik,” ujarnya pada sidang media tersebut. – airtimes.my