Home Pertahanan dan Keselamatan Ramadan tidak patahkan semangat anggota Op Benteng pertahankan kedaulatan negara

Ramadan tidak patahkan semangat anggota Op Benteng pertahankan kedaulatan negara

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 3 Mei – Kedatangan bulan Ramadan tidak sesekali mematahkan semangat anggota pasukan keselamatan Operasi Benteng (Op Benteng) dalam mempertahankan kedaulatan negara.

Komander National Task Force (NTF), Laksamana Madya Datuk Aris Adi Tan Abdullah berkata, pasukan keselamatan akan terus memerangi penceroboh pendatang asing tanpa izin (PATI) sehingga ke akar umbi dan terus komited memperkasakan perbatasan negara.

“Dalam bulan Ramadan, anggota agensi keselamatan dan penguatkuasa Op Benteng ini tetap menjalani ibadah berpuasa. Walaupun cabarannya bertugas dalam keadaan panas terik, keletihan dan juga berbuka puasa di lautan serta pos-pos kawalan seakan sudah menjadi rutin mereka,

“Demi menggalaskan tugas dan amanah untuk negara, kedatangan bulan Ramadan tidak mematahkan semangat mereka, berkat pengalaman serta latihan selama ini,” katanya secara maya bagi membincangkan topik Pemantauan di Perairan Negara di Malaysia Hari Ini (MHI) pada Jumaat lepas.

Beliau berkata, pada bulan Ramadan cabaran yang dilalui pasukan keselamatan adalah melibatkan modus operandi sindiket penyeludupan dikalangan rakyat tempatan. Mereka telah mengubah masa aktiviti penyeludupan dari Maghrib sehingga sahur.

“Satu lagi strategi mereka (penyeludup) adalah meninggalkan barangan seludup di lokasi dan juga mempelbagaikan jenis-jenis kenderaan seperti lori trailer, grab, e-hailing serta menggunakan jalan-jalan haram yang baharu,” jelasnya.

Pada masa sama, pergerakan keluar masuk PATI dilihat konsisten setiap minggu, majoritinya melibatkan warganegara Indonesia mahupun Thailand.

Selain itu, pekerja migran Indonesia akan bergerak keluar dari Malaysia menjelang Ramadan hingga Aidilfitri. Kesemua mereka menggunakan jalan darat ataupun laut dengan mengunakan lorong tikus bagi menggelak dari mengikut prosedur kesihatan dan dikuarantin.

Menurutnya, sehingga kini Op Benteng telah berjaya melakukan lebih dari 20 ribu tangkapan dan nilainya adalah lebih dari 450 juta.

“Untuk bulan Ramadan ini, aktiviti penyeludupan seperti daun ketum, minuman keras dan rokok tidak berkurangan,

“Bahan kawalan seperti keperluan harian dan mercun semakin meningkat, dalam tempoh ini juga nilai rampasan sebanyak 4.2 juta telah direkodkan,” ujarnya.

Manakala, seramai 19 tekong, 29 penyeludup, 292 PATI telah ditahan melibatkan 149 PATI yang mahu masuk dan 47 PATI keluar serta 56 ditangkap domestik.

“Daripada jumlah tekong tersebut, 12 tekong dari kalangan rakyat tempatan, 5 Indonesia dan 2 Filipina,

“Manakala tangkapan penyeludup pula 25 rakyat Malaysia, 3 warga Thailand dan satu warga Pakistan,” tambahnya.

Tambahnya, pergerakan keluar dan masuk PATI masih tertumpu di negeri Johor, Selangor, Sarawak dan Sabah serta aktiviti penyeludupan barang kekal konsisten di utara di semenanjung Malaysia. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply