Home Semasa Kapasiti katil rawatan kritikal COVID-19 di sekitar Lembah Klang hampir penuh – Noor Hisham

Kapasiti katil rawatan kritikal COVID-19 di sekitar Lembah Klang hampir penuh – Noor Hisham

by M.Daim

PUTRAJAYA, 2 Mei – Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah hari ini memberi amaran bahawa kapasiti katil rawatan kritikal COVID-19 di 6 buah hospital semakin penuh.

Beliau menyatakan perkara tersebut dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.

“Sebanyak 6 buah hospital yang mempunyai katil rawatan kritikal / Unit Rawatan Rapi (ICU) dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 didapati telah melebihi ambang amaran (alert threshold),

“Ada di antaranya telah pun menghampiri 100%,” jelas Noor Hisham.

Menurut beliau, situasi tersebut dilaporkan berlaku di  Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang, Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.

Tambahnya, Pusat Perubatan Universiti Malaya melaporkan penggunaan katil rawatan kritikal COVID-19 pada adalah melebihi 50 peratus.

“Menurut statistik CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil rawatan kritikal ICU COVID-19 terkini di Lembah Klang secara purata keseluruhan telah mencapai 90 peratus pada pagi 2 Mei 2021,” ujarnya.

Beliau turut menyatakan pelbagai langkah akan diambil bagi memastikan lebih banyak katil hospital dikhususkan kepada rawatan COVID-19.

“Pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang akan dikurangkan atau ditangguhkan,

“Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit COVID-19,” jelasnya.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan sebanyak 337 kes COVID-19 sedang dirawat di ICU. Sebanyak 176 kes memerlukan alat bantuan pernafasan. –  airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply