Home Semasa Kampung Bergosong, Tawau dikenakan PKPD mulai esok

Kampung Bergosong, Tawau dikenakan PKPD mulai esok

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 1 Mei – Kerajaan hari ini bersetuju memutuskan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Bergosong, Tawau, Sabah bermula esok sehingga 15 Mei 2021.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan 59 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 22 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam tempoh seminggu.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di lokaliti tersebut bermula 2 Mei sehingga 15 Mei 2021,” katanya dalam kenyataan mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD ini adalah untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat dan seterusnya mengekang penularan jangkitan COVID-19 ke komuniti luar.

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan, PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan yang dijadualkan tamat pada 2 Mei 2021 dilanjutkan lagi 2 minggu sehingga 16 Mei 2021.

Beliau berkata, pelanjutan tersebut dibuat setelah laporan dari KKM yang mengesahkan masih berlakunya penularan berterusan dalam kalangan penghuni di kawasan PKPD serta terdapat 6 baki sampel saringan yang masih belum mempunyai keputusan.

“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah, Kelantan yang dijadualkan tamat pada 2 Mei 2021,

“Sehingga kini, KKM telah melaksanakan 866 ujian saringan dan daripada jumlah itu secara kumulatif sebanyak 422 kes positif COVID-19 telah direkodkan,

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD di maahad tersebut bermula 3 Mei sehingga 16 Mei 2021,” ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, beliau turut menjelaskan PKPD di 2 lokaliti di Sabah ditamatkan ekoran penurunan kes dan kluster dikawasan tersebut terkawal.

2 lokaliti tersebut adalah Kampus Universiti Malaysia Sabah, Kota Kinabalu dan Sekolah Menegah Kebangsaan Agama Kota Kinabalu, Sabah. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply