Home SemasaGlobal Pesawat P-8 Poseidon AS tiba di Bali bantu kesan KRI Nanggala-402

Pesawat P-8 Poseidon AS tiba di Bali bantu kesan KRI Nanggala-402

by Air Times News Network

JAKARTA, 24 Apr – Tentera Nasional Indonesia (TNI) memaklumkan pesawat P-8 Poseidon milik Tentera Amerika Syarikat (AS) telah tiba di Bali hari ini bagi membantu operasi mencari serta menyelamat (SAR) kapal selam KRI Nanggala-402.

Ketua Laksamana Pertama Angkatan Laut Indonesia (Kadispenal), Laksamana TNI Julius Widjojono dipetik CNN Indonesia berkata, pesawat P-8 Poseidon akan segera melakukan misi pencarian tersebut.

Pesawat rondaan maritim AS ini direka khas untuk misi pencarian di lautan, khususnya mencari kapal selam.

Julius berkata, TNI juga masih menunggu kapal MV Swift Rescue milik Singapura yang dijadualkan akan tiba pada Ahad ini.

Sementara itu, TNI juga masih menunggu ketibaan kapal HMAS Sirius Tentera Australia yang dijangka tiba pada 28 April ini bagi membantu pencarian KRI Nanggala-402.

Sehingga kini, menurut Julius, belum ada perkembangan terbaru berkaitan pencarian KRI Nanggala.

Walaupun begitu, proses pencarian masih diteruskan dan difokuskan kepada 9 kawasan di perairan Bali.

Salah satu titik ini adalah lokasi di mana tumpahan minyak dan tarikan magnet kuat yang sebelumnya dikesan oleh salah satu KRI dan helikopter semasa memantau lokasi.

Titik pencarian ini diperluaskan di jarak 23 batu dari utara Bali atau sekitar 43 kilometer dari perairan Celukan Bawang. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply