Home Pertahanan dan Keselamatan ESSCOM tahan 8 pendatang asing, 2 lelaki tempatan di Tawau

ESSCOM tahan 8 pendatang asing, 2 lelaki tempatan di Tawau

by Nurulhuda

TAWAU, 20 Apr – ESSCOM menahan 8 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam satu serbuan Operasi Cegah PATI (OCP) Daratan di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Jalan Apas, malam tadi.

Komander ESSCOM , DCP Datuk Ahmad Fuad Othman dalam satu kenyataan berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat radar pasukan keselamatan yang berjaya mengesan pergerakan sebuah bot dari arah perairan negara jiran menuju ke kampung Kurnia Jaya dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota pasukan keselamatan yang terdiri dari Batalion 14 Pasukan Gerakan Am (BN 14 PGA) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) telah diatur gerak ke lokasi di rumah terbabit yang terletak di jambatan 2 di kampung berkenaan bagi menjalankan pemantauan dan pemeriksaan.

“Hasil serbuan dijalankan telah mengesan seramai 8 lelaki dewasa dan seorang wanita bersama seorang kanak-kanak lelaki berada di ruang tamu rumah dipercayai baru tiba dan memasuki negara ini secara haram,

“Pemeriksaan lanjut mendapati 8 orang daripada 10 suspek berkenaan tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,” tambahnya.

Ahmad Fuad berkata, turut ditahan 2 lelaki tempatan dipercayai sedang menunggu PATI tersebut untuk dibawa ke lokasi yang tidak diketahui.

“Kesemua suspek terdiri 9 lelaki dan seorang wanita berumur dalam lingkungan 10 hingga 70 tahun telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut,

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 55 (E) Akta Imigresen 1959/63,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply