Home Semasa Sekolah di 7 daerah PKP di Kelantan ditutup seminggu

Sekolah di 7 daerah PKP di Kelantan ditutup seminggu

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 18 Apr – Semua sekolah dan institusi pendidikan yang berada dalam jajahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kelantan ditutup selama 7 hari mulai hari ini.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan, Zulkernai Fauzi berkata, dalam satu surat pekeliling yang dikeluarkan malam tadi memaklumkan, penutupan tersebut dibuat sehingga 24 April depan.

Keputusan itu diambil selepas mengadakan mesyuarat petang semalam, susulan peningkatan ketara kes harian COVID-19 yang dilaporkan di negeri ini.

“Hasil mesyuarat dengan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Khas Kelantan petang semalam (Sabtu) mencadangkan menutup semua sekolah dibawah KPM di tujuh daerah yang dilaksanakan PKP,

“Semua sekolah di 7 daerah itu perlu melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah ( PdPR) berdasarkan kesesuaian dan keupayaan akses kepada komunikasi murid sepanjang penutupan sekolah,” tambahnya.

Bagaimanapun beliau berkata, semua murid yang tinggal di asrama perlu kekal berada di asrama.

Rabu lalu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, 7 kawasan di Kelantan terdiri daripada jajahan/daerah di Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah dikenakan PKP bermula 16 hingga 29 April.

PKP dilaksanakan ekoran peningkatan kes sebanyak 30.5 peratus di Kelantan dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes, dan kesemua tujuh jajahan/daerah itu berada dalam zon merah.

Terdapat juga 9 kluster baharu dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi.

Selain itu, 3 lokasi di negeri ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu Sekolah Tahfiz Bunut Sarang Burung (Tumpat) Kolej Tahfiz Sains Nurul Aman (Kok Lanas) dan Sekolah Menengah Sains (SMS) Machang. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply