Home Pertahanan dan Keselamatan 358 lagi PATI Filipina ‘balik kampung’

358 lagi PATI Filipina ‘balik kampung’

by Nurulhuda

SANDAKAN, 17 Apr – Seramai 358 pendatang asing tanpa izin (PATI) Filipina dihantar pulang ke negara asal melalui Pelabuhan Sandakan, semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Sabah, Datuk Dr.Muhamad Sade Mohamad Amin dalam kenyataan berkata, program penghantaran ini merupakan penghantaran kali kedua selepas penghantaran pertama seramai 316 orang yang menjadikan jumlah keseluruhan PATI warganegara Filipina telah diusir adalah seramai 674 orang.

Sehingga kini seramai 916 orang jumlah keseluruhan warga asing yang berjaya diusir oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sabah.

“Program ini merupakan kerjasama JIM negeri Sabah dengan Kedutaan Filipina telah melaksanakan Program Penghantaran Pulang PATI siri 4/2021 warganegara Filipina bagi tahun 2021,

“Semua PATI warganegara Filipina tersebut telah ditahan di Depot Imigresen Sandakan sejak tahun 2020 dan mereka dihantar pulang melalui Pelabuhan Sandakan, Sabah ke Pelabuhan Zamboanga, Filipina,

“Kesemua PATI yang ditahan telah melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Semua PATI telah menjalani hukuman mengikut perundangan negara untuk diusir keluar dari negeri Sabah,”katanya.

Beliau berkata, proses tapisan kesihatan yang ketat termasuk ujian saringan COVID-19 dan proses pengasingan PATI turut dilakukan untuk memastikan tidak wujud penularan jangkitan COVID-19 terhadap PATI seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambahnya, program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh JIM Sabah bagi tahanan yang ditempatkan di Depot Imigresen seluruh Sabah.

Dr.Muhamad Sade berkata, kesemua warganegara asing diingatkan agar memiliki dokumen perjalan yang sah dan mendapat kebenaran masuk sebelum di Sabah. Semua agensi penguatkuasa di Sabah akan sentiasa mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan ini.

Menurut beliau, pihaknya akan terus komited melakukan tindakan penguatkuasaan dan penghantaran pulang PATI setelah mereka melalui semua proses perundangan dan mendapat pengesahan daripada kedutaan masing-masing. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply