Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Tentera Darat kepung Kampung Meruntum dengan kawat duri

Tentera Darat kepung Kampung Meruntum dengan kawat duri

by Nurulhuda

PUTATAN, 15 Apr – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengaturgerakan Rejimen 507 Askar Wataniah (Rej 507 AW) untuk membantu Agensi Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam pemasangan pagar kawat duri di Kampung Meruntum Fasa 1 dan 2 di Putatan, Sabah semalam.

Pemasangan kawat duri tersebut adalah berikutan keputusan kerajaan yang melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 13 sehingga 26 April 2021 berikutan berlakunya peningkatan kes jangkitan COVID-19 di kawasan berkenaan.

Markas Lima Divisyen Infantri Malaysia (5 Div) dalam hantaran di media sosial rasminya berkata, seramai seorang pegawai dan 15 anggota lain-lain pangkat (LLP) daripada Rej 507 AW terlibat dengan pemasangan concertina wire ini.

“5 Div melalui formasi briged Kelima Infantri Malaysia (5 Bgd) bertanggungjawab dalam membantu NADMA Sabah melaksanakan kawalan dan pemerhatian ke atas kawasan tempatan jangkitan bagi memutuskan rantaian penularan wabak COVID-19,

“Kesemua petugas mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa melaksanakan kerja pemasangan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dan penambahan kluster aktif yang baharu dalam kalangan petugas barisan hadapan,” tambahnya.

Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengesahkan peningkatan kes jangkitan wabak COVID-19 di kawasan tersebut.

Beliau menjelaskan, KKM telah melaksanakan 71 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 5 kes postif COVID-19 direkodkan dan 62 sampel ujian saringan masih menunggu keputusan.

Menurutnya, pelaksanaan PKPD membolehkan KKM melakukan pengesanan awal kes serta mengelak penularan COVID-19 ke luar lokaliti ini. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply