Home PolitikBarisan Nasional Zahid Hamidi tak layak terus pegang jawatan jika rakaman audio tulen – Ku Li

Zahid Hamidi tak layak terus pegang jawatan jika rakaman audio tulen – Ku Li

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Apr – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu bertanggungjawab dan tidak layak untuk terus memegang jawatan sekiranya rakaman audio melibatkan dirinya dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim didapati tulen.

Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, banyak pihak terutama ahli-ahli UMNO meletakkan harapan tinggi terhadap Ahmad Zahid untuk memimpin parti itu dengan baik.

“Pada pandangan saya tak baguslah, seorang pemimpin patut tidak berlagak macam itu. Dia mesti lebih bertanggungjawab sebab orang meletakkan harapan kepada dia untuk memimpin dengan lebih baik. Jangan dia ambil mudah,

“Mengenai rakam audio ini, tak tahulah betul atau tak tapi dengar suara macam dia punya suara,

“Kalau benar itu suara dia, kalau benar dia mempunyai niat macam itu. Sebagaimana suara dia sememangnya dia tidak bertanggungjawab, tidak layak kekal di situ,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian hari ini.

Semalam, tular satu rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat yang didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar berkisar mengenai Perhimpunan Agung UMNO 2021 (PAU 2021).

Walau bagaimanapun, Ahmad Zahid telah menafikan sekeras-kerasnya mengenai audio tersebut dan mengarahkan pegawainya membuat laporan polis.

Turut menafikan perkara berkenaan adalah Anwar Ibrahim yang menyifatkan rakaman tersebut sengaja mahu mempergunakan PKR dalam pergolakan politik antara PPBM dan UMNO.

Sementara itu, Bekas Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa mendakwa, rakaman audio perbualan antara dua individu yang mirip suara Anwar dan Ahmad Zahid yang tular di media sosial sejak semalam adalah asli.

Beliau berkata, setelah mendengar rakaman itu lebih daripada 10 kali, beliau yakin suara itu milik Ahmad Zahid dan Anwar. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply