Home PolitikBarisan Nasional Zahid Hamidi nafi rakaman audio perbualan dengan Anwar Ibrahim

Zahid Hamidi nafi rakaman audio perbualan dengan Anwar Ibrahim

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 7 Apr – Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan berhubung satu rakaman audio yang dikatakan melibatkan perbualannya dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau amat kecewa dan terkejut dengan penyebaran audio yang kononnya merakamkan perbualannya dengan Anwar Ibrahim.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya mengenai adanya perbualan sebagaimana dalam audio rakaman tersebut, malah ingin ditegaskan tiada sebarang perbualan antara saya dengan Datuk Seri Anwar selepas Perhimpunan Agung UMNO (PAU 2020) baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Ahmad Zahid berkata, ini merupakan satu percaturan politik yang jahat dan jijik yang hanya mengesahkan usaha berterusan untuk melemahkan dan menghancurkan UMNO.

“Saya percaya lebih banyak lagi permainan keji seperti ini akan dilakukan untuk terus meremehkan dan memusnahkan UMNO,

“Sebagai Presiden UMNO, saya tidak akan sesekali mencabuli apatah lagi membelakangi apa jua ketetapan yang telah diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan PAU 2020,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan pegawainya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang ‘scheme of thing’ ini.

Awal pagi tadi, tular satu rakaman audio berdurasi 4 minit 17 saat di sebuah portal berita yang didakwa mirip suara Ahmad Zahid dan Anwar. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply