Home Semasa 3 lokaliti di Sarawak diisytihar PKPD, satu kawasan dilanjutkan

3 lokaliti di Sarawak diisytihar PKPD, satu kawasan dilanjutkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 8 Apr – Kerajaan hari ini mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di 3 kawasan di Sarawak iaitu, Penjara, Kuarters Kakitangan Sri Aman dan Kampung Serpan Laut, Asajaya, Bahagian Samarahan Sarawak bermula esok.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pelaksanaan PKPD di 3 lokaliti sehingga 21 April depan dibuat selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan peningkatan kes secara mendadak dalam tempoh 7 hari dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi.

Beliau berkata, bagi kawasan penjara dan kuarters kakitangan di Sri Aman, KKM telah melaksanakan 482 ujian saringan dan daripada jumlah tersebut, sebanyak 289 kes positif COVID-19 direkodkan.

“Ia melibatkan 279 orang tahanan, 8 petugas penjara dan 2 ahli keluarga kakitangan penjara,

“Manakala bagi Kampung Serpan Laut, Asajaya, KKM telah melaksanakan 62 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 5 kes positif COVID-19 telah direkodkan di lokaliti ini,” katanya dalam satu kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), hari ini.

Pelaksanaan PKPD ini untuk memudahkan KKM melaksanakan saringan bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat dan seterusnya menghalang penularan dalam komuniti.

Sementara itu, Ismail Sabri turut memaklumkan bahawa kerajaan akan melanjutkan tempoh PKPD di Kampung Batu Gong, Siburan, Serian, sehingga 23 April depan.

Menurut beliau, PKPD di kampung berkenaan dijadualkan tamat Jumaat ini, namun KKM mengesahkan masih berlaku penularan jangkitan serta terdapat kes baru yang dikesan dalam kalangan komuniti di kampung itu.

“Dalam tempoh itu, KKM telah melaksanakan 485 ujian saringan dan daripada jumlah itu, sebanyak 95 kes positif COVID-19 direkodkan,”ujarnya.-airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply