Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Terengganu tenggelamkan 3 bot nelayan Vietnam jadi tukun tiruan

APMM Terengganu tenggelamkan 3 bot nelayan Vietnam jadi tukun tiruan

by Air Times News Network

MERCHANG, 2 Apr – Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) Terengganu melupuskan 3 bot nelayan Vietnam yang telah selesai dilucut hak oleh mahkamah secara ditenggelamkan sebagai tukun tiruan berhampiran perairan Gong Balai, semalam.

Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua bot yang dilucut hak ditahan sepanjang tahun 2020 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

“Kesemua bot ini ditahan melalui Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) Gemia.

“Ini merupakan pelupusan ketujuh dalam tahun ini oleh APMM Terengganu dan dijangkakan sebanyak 40 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat perlucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial APMM.

Beliau berkata, setakat ini, 102 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu.

“Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan APMM dalam mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram,” ujarnya.

Tambahnya, program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT). – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply