Home Pertahanan dan Keselamatan APMM Pulau Pinang tahan 5 nelayan Indonesia ceroboh perairan Malaysia

APMM Pulau Pinang tahan 5 nelayan Indonesia ceroboh perairan Malaysia

by Air Times News Network

GEORGETOWN, 24 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang berjaya menahan sebuah bot bersama 5 nelayan warga Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 32.3 batu nautika barat Pulau Kendi pada Isnin.

Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Abd Razak Mohamed berkata, bot tersebut dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan dalam perairan negara oleh KM BURAU semasa rondaan Op Pertiwi/Op Benteng/Op Tanjung kira-kira pukul 5 petang.

“Bot tersebut dikendalikan 5 kru warga Indonesia termasuk tekong berumur sekitar 18 hingga 45 tahun dan tiada mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,

“Kesemua nelayan asing itu ditahan kerana menceroboh perairan negara dan kes akan disiasat di bawah Sek 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,

“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dijatuhkan hukuman denda RM6 juta manakala kru pula didenda RM500,000 setiap seorang dengan penjara maksimum setahun,” katanya dalam hantaran di media sosial APMM.

Menurutnya, bot bersama kru termasuk tekong dibawa masuk ke Jeti Batu Maung untuk diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Pulau Pinang untuk tindakan lanjut.

Dalam perkembangan lain, pihaknya telah menerima perolehan Floating Jetty bagi memudahkan urusan tambatan aset-aset Maritim Malaysia dan bot-bot tahanan, di Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Uban.

Majlis penyerahan telah disempurnakan Ketua Jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Timur Laut, Ir. Abdul Rahman Azzam Che Sobry kepada APMM di Markas Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Batu Uban Pulau Pinang.

Turut hadir Ketua Cawangan Prasarana & Infrastruktur, Bahagian Pembangunan Ibu Pejabat Maritim Malaysia, Komander Maritim Amir Shubli dan Ketua Juruukur Bahan Penguasa, Bahagian Kontrak & Ukur Bahan Jabatan Kerja Raya Negeri Pulau Pinang, Sr Puan Zaniroh binti Mat Saad. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply