KUALA LUMPUR, 23 Mac – Sebanyak 1,384 kes harian baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan positif COVID-19 sebanyak 335,540 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kes baharu hari ini mengatasi kes sembuh iaitu sebanyak 1,056 kes, menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh dalam negara 319,842 kes.
Daripada jumlah baharu hari ini, 9 kes import dan 1,375 kes membabitkan penularan tempatan.
Manakala, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini adalah 14,454 kes
Sementara itu, negeri Selangor melaporkan kes baharu harian tertinggi hari ini iaitu sebanyak 625 kes.
“Daripada jumlah ini, sebanyak 557 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,
“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 161 kes dan Sarawak sebanyak 140 kes,
“Sebanyak 37 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan Depot Tahanan Imigresen (DTI) yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (29 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (5 kes), Kluster DTI Sepang 2 (1 kes), Kluster Jalan Awang (1 kes), dan Kluster Telok Mas (1 kes),” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan COVID-19 di Malaysia, hari ini.⠀
Selain itu, katanya, terdapat 148 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut mengesahkan terdapat pertambahan sebanyak 6 kes kematian dan ia menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian di Malaysia kini mencatatkan sebanyak 1,244 kes.
“Kes-kes kematian pada hari ini melibatkan masing-masing 2 kes di Sarawak dan Selangor serta masing-masing satu di Kelantan dan Johor,
“Kesemua kematian melibatkan warganegara,” ujarnya.
Sementara itu, 3 kluster baharu dikesan hari ini yang melibatkan kesemuanya kluster tempat kerja. – airtimes.my ⠀