Home Semasa Bantuan khas RM500 ribu jika hilang upaya atau mati akibat suntikan vaksin COVID-19

Bantuan khas RM500 ribu jika hilang upaya atau mati akibat suntikan vaksin COVID-19

by Air Times News Network

PUTRAJAYA, 22 Mac – Kerajaan bersetuju untuk memberi RM500,000 sebagai Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 kepada warganegara Malaysia dan warga asing di negara ini sekiranya berlaku hilang upaya kekal atau kematian disebabkan suntikan tersebut.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, kerajaan juga telah meluluskan bantuan khas sebanyak RM50,000 jika berlaku kesan sampingan serius kepada penerima vaksin COVID-19 yang memerlukan rawatan berpanjangan di hospital.

“Kerajaan bersetuju untuk menyediakan dana permulaan sebanyak RM10 juta di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang diuruskan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi tujuan bayaran bantuan khas kewangan kesan mudarat vaksin COVID-19 ini,

“Bantuan khas kewangan ini merupakan langkah proaktif kerajaan untuk menghadapi kemungkinan jika berlaku kesan sampingan (adverse effects) daripada penggunaan vaksin COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, bantuan khas ini juga akan dapat membantu menampung keperluan penerima vaksin dan keluarga berkemungkinan terjejas akibat kesan daripada pengambilan vaksin ini kelak.

“Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menubuhkan tiga jawatankuasa di peringkat kementerian bagi memantau dan menilai kesan mudaratnya susulan imunisasi dan isu keselamatan yang berkaitan dengan vaksin COVID-19,” ujarnya.

Beliau berkata, Jawatankuasa Farmakovigilans Khas bagi Pemantauan Vaksin COVID-19 ditubuhkan bagi memantau dan menilai kesan mudarat susulan imunisasi (AEFI) dan isu keselamatan yang berkaitan dengan vaksin COVID-19.

Seterusnya, Jawatankuasa Teknikal Perubatan dibentuk untuk menentukan sama ada kes permohonan bantuan khas kewangan mempunyai hubung kait (causal relationship) dengan vaksin COVID-19.

“Penilaian akan dibuat secara case to case basis berdasarkan bukti yang diterima dan laporan Jawatankuasa Farmakovigilans Khas Bagi Pemantauan Vaksin COVID-19,” jelasnya.

Manakala, Jawatankuasa Induk Bantuan Khas Kewangan Kesan Mudarat Vaksin COVID-19 untuk memberi kelulusan bantuan khas kewangan berdasarkan keputusan kedua-dua jawatankuasa.

Katanya, bantuan khas kewangan ini akan diberikan kepada penerima vaksin terkesan setelah dinilai oleh tiga jawatankuasa tersebut yang mana bayaran akan dibuat oleh NADMA kepada penerima vaksin yang terkesan.

“Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dan penerima vaksin COVID-19 serta berusaha meningkatkan keyakinan masyarakat bagi menerima suntikan vaksin COVID-19,” jelasnya. – airtimes.my

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply