Home Pertahanan dan Keselamatan Operasi penghantaran 1,086 PATI Myanmar berjaya dilaksanakan – Jabatan Imigresen Malaysia

Operasi penghantaran 1,086 PATI Myanmar berjaya dilaksanakan – Jabatan Imigresen Malaysia

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 23 Feb – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) hari ini mengesahkan Program Penghantaran Pulang Warganegara Myanmar berjalan lancar seperti dirancang.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud dalam satu kenyataan berkata, program ini melibatkan seramai 1,086 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dari negara itu.

Menurut beliau, program ini melibatkan 3 buah kapal Tentera Laut Myanmar yang tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut pada 20 Februari lalu.

“Semua PATI warganegara Myanmar tersebut telah ditahan dalam depot-depot Imigresen di seluruh negara sejak tahun 2020,

“Mereka dihantar pulang melalui Pangkalan TLDM Lumut, Perak dengan menggunakan 3 buah kapal Tentera Laut Myanmar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kesemua PATI yang dihantar pulang tidak melibatkan etnik Rohingya atau pencari suaka.

“Kesemua mereka yang dihantar pulang itu telah bersetuju untuk pulang secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak,

“Program penghantaran pulang ini merupakan sebahagian daripada aktiviti berterusan proses pengusiran oleh Jabatan Imigresen bagi tahanan yang ditempatkan di depot Imigresen,” jelasnya.

Khairul menambah, pihaknya melalui Kementerian Dalam Negeri dan Wisma Putra akan berusaha untuk mendapatkan persetujuan dari negara-negara tahanan PATI.

“Kita akan terus berusaha untuk mendapatkan persetujuan Vietnam, Indonesia, Bangladesh dan lain-lain supaya membawa pulang rakyat mereka yang sedang ditahan,

“Rakyat negara-negara terbabit mempunyai jumlah tahanan yang besar di depot-depot Imigresen,” ujar beliau. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply