Home Semasa 6 dari Indonesia antara 90 Ahli Parlimen ASEAN bantah darurat Malaysia

6 dari Indonesia antara 90 Ahli Parlimen ASEAN bantah darurat Malaysia

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 16 Feb – Seramai 6 Ahli Parlimen Indonesia telah menandatangani kenyataan bersama ASEAN Parlimentarian For Human Rights (APFHR) yang menggesa Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang parlimen.

Kenyataan bersama ini disertai Ahli Parlimen dan bekas Ahli Parlimen dari  7 negara jiran serantau.

“Kami Ahli Parlimen yang dipilih secara demokrasi di Asia Tenggara mendesak Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Speaker Dewan Rakyat dan Perdana Menteri untuk membenarkan sesi persidangan parlimen untuk diadakan secepat mungkin,

“Ini bagi memastikan akauntabiliti kerajaan, langkah darurat, hak asasi kemanusiaan dan keputusan hal mustahak dapat dicapai,” kata kenyataan itu.

Menurut APFHR, darurat yang berkuatkuasa 11 Januari lalu boleh menyebabkan salah guna kuasa berlaku.

Selain itu, organisasi terbabit turut menegaskan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 telah menghapuskan kuasa penggubal undang-undang dan sistem kehakiman.

Tambahnya, pemberian kuasa kepada tentera untuk menahan rakyat yang ingkar mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan Pendatang Asing Tanpa Izin perlu bersifat sementara.

“Kami ingin mengingatkan pihak berkuasa Malaysia untuk menggunakan darurat sebagai alasan untuk menidakkan hak asasi manusia dan menutup penuh institusi demokrasi,

“Kuasa darurat Malaysia secara jelas tidak mematuhi piawaian antarabangsa di mana akauntabiliti kerajaan adalah terhad dan salah guna kuasa mungkin berlaku,” jelasnya.

Kenyataan bersama 90 orang Ahli Parlimen APFHR telah ditandatangani oleh 47 orang wakil Thailand, 12 Kemboja, 11 Filipina, 9 Indonesia, 8 Timor-Leste, 2 Myanmar dan seorang dari Singapura. –  airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply