Home Pertahanan dan Keselamatan Perginya veteran Rejimen Askar Melayu Diraja era Perang Dunia Kedua

Perginya veteran Rejimen Askar Melayu Diraja era Perang Dunia Kedua

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Negara kehilangan satu-satunya veteran Rejimen Askar Melayu era Perang Dunia ke-2 pada hari ini.

Menurut sumber Tentera Darat Malaysia, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 5 petang tadi di Sungai Buloh.

“Jenazah Allahyarham Prebet Ujang Mormin akan dikebumikan di Pusara Rejimen Askar Melayu Diraja,” katanya.

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain akan mengadakan sidang media di Port Dickson, esok.

Allahyarham Ujang Mormin berusia 100 tahun dan lahir di Kampung Kundur, Rembau, Negeri Sembilan.

Beliau yang turut dikenali sebagai Tok Ujang telah diserapkan kedalam Batalion Pertama Askar Melayu pada tahun 1941. Beliau meneruskan khidmat bakti dalam pasukan yang sama selepas Perang Dunia ke-2 tamat.

Dianugerahkan pingat The Pacific Star dan Pingat Jasa Malaysia, Ujang Mormin telah menamatkan karier ketenteraan beliau pada Februari 1947.

Allahyarham merupakan antara anggota tentera Rejimen Askar Melayu yang terlibat dalam Pertempuran Pasir Panjang (Battle of Pasir Panjang) di Singapura.

Pertempuran ini turut menyaksikan Leftenan Adnan Saidi dari Kompeni C Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu gugur.

Ujang pada ketika itu berusia 21 tahun dan ditugaskan untuk mempertahankan kubu di Bukit Chermin, Gap Ridge. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply