Home Semasa COVID-19: 2,764 kes baharu, 13 kematian direkodkan

COVID-19: 2,764 kes baharu, 13 kematian direkodkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Malaysia merekodkan 2,764 kes positif baharu COVID-19 hari ini, sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan wabak berkenaan sebanyak 248,316 kes sejak ia melanda negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes baharu tersebut, sebanyak 6 kes import dilaporkan menerima jangkitan daripada luar negara manakala selebihnya merupakan kes tempatan.

Selangor masih melaporkan kes harian tertinggi iaitu sebanyak 862 kes dan 668 kes daripadanya adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti Johor dengan 521 kes dan Kuala Lumpur dengan 422 kes,

“Sebanyak 51 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Sungai Udang (27 kes), Kluster Tembok Renggam (9 kes), Kluster Tembok Pengkalan Chepa (8 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (4 kes), dan Kluster Tembok Bukit Besi (3 kes),” katanya dalam sidang media mengenai situasi semasa COVID-19, hari ini.

Selain itu, sebanyak 289 kes sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 127 kes pula memerlukan bantuan pernafasan.

“Kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 kini sebanyak 50,841 kes,” tambahnya.

Dalam pada itu, sebanyak 13 kes kematian baharu turut dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kini adalah sebanyak 909 kes.

“Kes-kes kematian melibatkan 6 kes di Selangor, masing-masing 2 kes di Sabah, Sarawak, dan Johor, dan 1 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,

“Kesemua kes melibatkan warganegara,” jelasnya.

Dr Noor Hisham turut memaklumkan 12 kluster baharu yang dikenal pasti hari ini melibatkan 11 kluster berkaitan tempat kerja dan 1 daripada kumpulan berisiko tinggi. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply