Home Semasa 2 kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat laksana latihan di Laut China Selatan

2 kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat laksana latihan di Laut China Selatan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 9 Feb – Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy) hari ini mengesahkan dua kapal pengangkut pesawat mereka sedang melaksanakan latihan ketenteraan di Laut China Selatan.

Pihak 7th Fleet (Armada Ke-7) dalam satu kenyataan berkata, pelbagai latihan telah dilaksanakan dengan bertujuan untuk mempertingkatkan daya saling operasi antara Carrier Strike Group (CSG) ke-9 dan ke-11.

“Latihan bersama ini merupakan satu pengalaman yang penting dan mampu mempertingkatkan daya saling operasi,

“Ini terutamanya dalam membantu negara rakan dan sekutu dalam mendukung keamanan serta kebebasan perairan rantau Indo-Pasifik,” kata Komander CSG ke-9, Rear Admiral Doug Verissimo.

Kali terakhir US Navy mengoperasikan 2 kapal induk secara serentak di Laut China Selatan adalah pada Julai 2020. Foto: 7th Fleet, US Navy

Kedua-dua kumpulan penggempur ini pernah melaksanakan latihan bersama pada 21 Jun tahun lalu di Laut Filipina.

Kali terakhir 2 kapal pengangkut pesawat US Navy beroperasi secara bersama di Laut China Selatan adalah pada Julai tahun lalu. Operasi pada ketika itu melibat USS Ronald Reagan dan USS Nimitz.

Menurut 7th Fleet, pengoperasian 2 kapal induk di satu kawasan bukanlah sesuatu yang baharu.

“Ianya bertujuan untuk meningkatkan kesiapsiagaan US Navy di kawasan tersebut,

“Pada masa yang sama, ini akan memberikan jaminan kepada negara rakan dan sekutu Amerika Syarikat untuk menjaga keamanan.

CSG 9 merangkumi USS Theodore Roosevelt (CVN 71), Carrier Air Wing (CVW) 11, USS Bunker Hill (CG 52), Skuadron Kapal Pembinasa 23, USS Russell (DDG 59) dan USS John Finn (DDG 113).

Sementara itu, CSG 11 pula melibatkan USS Nimitz (CVN 68), Carrier Air Wing (CVW) 17, USS Princeton (CG 59), USS Sterett (DDG 104), dan Skuadron Kapal Pembinasa 9. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply