Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: Nelayan Indonesia ceroboh perairan Malaysia ditahan APMM

Op Benteng: Nelayan Indonesia ceroboh perairan Malaysia ditahan APMM

by Air Times News Network

LUMUT, 7 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menahan sebuah bot nelayan Indonesia bersama 4 kru yang memasuki perairan negara secara tidak sah di kedudukan 16 batu nautika barat laut berhampiran Pulau Jarak, petang semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Shahrizan bin Raman berkata, Kapal Maritim (KM) TUGAU yang sedang melakukan rondaan Operasi Benteng (Op Benteng) telah mengesan sebuah bot yang sedang melakukan aktiviti perikanan.

“Bot tersebut dikendalikan oleh 4 kru warga Indonesia termasuk tekong berumur 20 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah,

“Kru dan tekong bersama bot dibawa ke Pusat Tahanan Vessel (PTV) Kampung Bharu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Perak untuk tindakan lanjut,

“Kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia, serta Seksyen 6(1)(a) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa permit masuk yang sah dan Seksyen 6(1)(c) kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki dokumen yang sah.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah Akta Perikanan, tekong boleh dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM6 juta dan kru pula didenda RM500 ribu setiap orang dengan penjara 6 bulan sehingga 1 tahun. Manakala, Akta Imigresen 1959/63 tertuduh boleh didenda tidak lebih daripada RM10 ribu atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan,” katanya

Beliau menambah, APMM Perak akan meningkatkan kawalan sempadan perairan negara menerusi Op Benteng.

“Orang ramai diminta memberi kerjasama dengan meyalurkan maklumat lengkap melalui talian MERS 999, Pusat Operasi Maritim Perak 05 – 683 8737 atau NTF 011-6251 1123,”ujarnya.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply