Home PolitikPakatan Harapan Pakatan Harapan tak mahu PRU, kembalikan mandat rakyat

Pakatan Harapan tak mahu PRU, kembalikan mandat rakyat

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 6 Feb – Pakatan Harapan (PH) kekal dengan pendirian tidak mahu Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan, sebaliknya mereka mahu mandat rakyat yang diberikan pada PRU-14 dikembalikan dengan kadar segera.

Dalam satu kenyataan bersama semalam, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli dan Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP, Anthony Loke Siew Fook, mempertikaikan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sering membangkitkan isu pilihanraya.

“Amat jelas rakyat Malaysia tidak inginkan pilihanraya pada waktu ini, tetapi mahu kestabilan politik untuk menyelesai isu pandemik dan ekonomi,

“Maka PH kekal dengan pendirian bahawa pilihan raya tidak diperlukan memandangkan mandat yang diberikan rakyat pada PRU-14 adalah sah sehingga 2023,” ujarnya.

Sementara itu, Majlis Presiden PH turut membincangkan isu Jawatankuasa Khas Bebas Darurat yang telah diumum pada 12 Januari lalu.

“Senarai nama telah diberi kepada pihak kerajaan pada 21 Januari lalu, iaitu lebih dua minggu yang lalu. Namun sehingga hari ini kami belum menerima sebarang maklum balas berkenaan pengaktifan jawatankuasa tersebut,

“Ini amat mendukacitakan kerana kami diberi gambaran bahawa jawatankuasa ini penting untuk meneliti keadaan semasa bagi membuat pengesyoran berkaitan penamatan darurat,” katanya.

Majlis Presiden PH yang bermesyuarat semalam juga turut membincangkan keadaan ekonomi semasa yang amat menggusarkan.

Turut dibincangkan mengenai laporan berita berkenaan indeks persepsi rasuah negara yang menurun, potensi kehilangan pekerjaan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta pengurangan pelaburan langsung asing. – airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply