KUALA LUMPUR, 6 Feb – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan menegaskan buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas “My Story: Justice in the Wilderness” sebagai karut.
Beliau berkata, setelah meneliti kandungan dan intipati buku tersebut secara tekun, saya turut terkesan dan merasakan banyak aspek dalam buku tersebut yang karut terutama sekali yang menyentuh soal akauntabiliti, ketelusan dan keadilan Pegawai Undang-undang yang bertugas di Jabatan Peguam Negara dan juga di mahkamah di seluruh pelusuk negara.
“Sebagai seorang bekas pegawai undang-undang di mahkamah ketika permulaan kerjaya saya dalam bidang perundangan di tahun 1980an dulu dan juga ahli Persatuan Pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (JALSOA), saya amat percaya bahawa setiap pegawai undang-undang yang berkhidmat akan sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip utama undang-undang,
“Dengan berpegang kepada prinsip tersebut, kita akan sentiasa bertindak dalam ruang lingkup undang-undang, bebas dari sebarang pengaruh, dorongan, tekanan, ancaman atau gangguan, sama ada secara langsung atau tidak langsung daripada mana-mana pihak yang menjurus ke arah menjejaskan integriti dan tugasan pegawai undang-undang,” katanya dalam surat kepada pegawai perundangan dan kehakiman di Malaysia, hari ini.
Selain itu, beliau berpandangan penulisan buku tersebut jelas menjurus kepada unsur ‘penghinaan’ serta bersifat ‘mala fide’.
“Akibatnya telah menjatuhkan integriti serta maruah institusi perundangan negara amnya dan pegawai-pegawai undang-undang khasnya,” ujarnya.
Jelasnya, Jabatan Peguam Negara dan mahkamah merupakan institusi perundangan yang sentiasa bersikap terbuka serta menerima baik segala pandangan dan cadangan dari dalam dan luar mahupun kritikan yang membina.
“Inilah sikap kita yang menghormati prinsip ‘fundamental liberties’ atau kebebasan asasi yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,
“Kita anggap teguran yang membina itu boleh meningkatkan lagi kualiti pelaksanaan tugas-tugas kehakiman dan perundangan dalam kalangan pegawai-pegawai kita,
“Walau bagaimanapun, teguran tersebut hendaklah dibuat dengan niat ikhlas dan “with reasonable courtesy and responsiblity within the limits of the law”,” ujarnya.
Takiyuddin percaya bahawa proses keadilan tidak boleh dilaksanakan dengan baik, lancar dan berkesan tanpa sokongan daripada pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara dan di mahkamah serta juga pengamal undang-undang di sektor swasta.
“Integrasi serta kerjasama ketiga-tiga sektor ini mampu memastikan undang-undang dan keadilan dapat ditegakkan dalam masyarakat kita.
“Saya turut yakin kebolehan, komitmen, dedikasi, kemahiran serta kejujuran pegawai-pegawai undang-undang di Jabatan Peguam Negara dan di Mahkamah tidak boleh dipersoalkan sama sekali,
“Setiap tugasan yang dilaksanakan mereka adalah mengikut lunas undang-undang secara tersurat mahupun tersirat (expressly and impliedly), tidak sekali-kali mengikut selera sendiri malah jauh dari bertujuan meraih populariti di mata mana-mana pihak,” jelasnya.
Pada masa sama, Takiyuddin memberi jaminan kerajaan akan sentiasa memerhati dan bertindak mengikut undang-undang sebarang usaha memperkecilkan badan perundangan dan kehakiman serta pegawai-pegawainya.
Tegasnya, prinsip ‘the rule of law’ perlu dijadikan garis panduan bagi setiap individu mahupun kumpulan dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan. – airtimes.my