Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: APMM tahan 5 kru warga asing guna bot nelayan tempatan di perairan Langkawi

Op Benteng: APMM tahan 5 kru warga asing guna bot nelayan tempatan di perairan Langkawi

by Nurulhuda

LANGKAWI, 5 Feb – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) negeri Kedah dan Perlis telah menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama kru warga asing termasuk tekong yang menceroboh perairan negara di kedudukan 13.8 batu nautika dari barat daya Pulau Singa Besar, Pulau Langkawi, semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, tangkapan tersebut dilakukan oleh anggota ronda APMM ketika melaksanakan Operasi Benteng (Op Benteng) dan Operasi Aman (Op Aman) pada jam lebih kurang 11.26 pagi.

“Semasa rondaan, bot APMM telah mengesan sebuah bot nelayan bersama beberapa kru dalam situasi mencurigakan,

“Anggota penguatkuasa APMM kemudiannya menahan bot berkenaan dan hasil pemeriksaan mendapati, bot itu dikendalikan tekong warga Thailand dan 4 kru warga Kemboja yang berumur dalam lingkungan 21 hingga 50 tahun,

“Kesemua mereka telah melakukan kesalahan dengan melanggar syarat sah lesen serta tidak memiliki sebarang permit kerja dan kelulusan daripada Jabatan Perikanan Malaysia, juga tidak mempunyai Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dari Jabatan Imigresen Malaysia,” katanya dalam hantaran di media sosial rasmi APMM pada Khamis.

Mohd Zawawi berkata, tekong, kru dan bot ditahan bersama hasil tangkapan ikan campur yang dianggarkan lebih kurang 2.5 tan.

“Mereka kemudiannya diiring ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut bagi siasatan lanjut. Kes akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63,

“Kesemua kru bot tersebut telah menjalani ujian saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebagai langkah berjaga-jaga,

Pada masa yang sama, Mohd Zawawi mengingatkan kepada pemilik bot nelayan tempatan agar tidak menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI) dan sentiasa mematuhi syarat sah lesen yang telah ditetapkan. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply