Home Pertahanan dan Keselamatan Polis Marin tahan 5 lelaki tempatan, cuba seludup 300kg ketum ke Thailand

Polis Marin tahan 5 lelaki tempatan, cuba seludup 300kg ketum ke Thailand

by Nurulhuda

Kuala Perlis, 4 Feb – Cubaan 5 lelaki warga tempatan membawa sebanyak 30 bungkusan plastik hitam dianggarkan seberat 300kg daun ketum untuk diseludup ke Thailand gagal apabila ditahan oleh Pasukan Polis Marin (PPM) Kuala Perlis di tembok sempadan negara Bukit Putih, semalam.

Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah Satu Langkawi, DSP Rohizan Mohamad Saaid berkata, mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 33 tahun itu ditahan pada jam 4 petang semalam ketika sedang memunggah keluar muatan plastik hitam tersebut dari sebuah kenderaan jenis Proton Pesona dipercayai untuk tujuan diseludup ke negara jiran melalui jalan darat.

“Dalam kejadian itu, sepasukan polis dari unit risik PPM Kuala Perlis telah membuat serbuan dan tangkapan ketika menjalankan rondaan rutin di kawasan terbabit,

“Mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 20 hingga 33 tahun. Hasil pemeriksaan, mendapati sebanyak 30 bungkusan plastik hitam seberat kira-kira 300 kg mengandungi daun tersebut,” katanya dalam satu hantaran di media sosial rasmi milik PPM pada Rabu.

Menurut Rohizan, kesemua mereka ditahan di bawah Sek 30(3) Akta Racun 1952 dan dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kangar untuk siasatan lanjut.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan tersebut termasuk kenderaan lebih kurang RM 80,000,” tambahnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply