Home Semasa Penduduk Sabah dan Labuan gempar dengar bunyi letupan, gegaran

Penduduk Sabah dan Labuan gempar dengar bunyi letupan, gegaran

by Bernama

KOTA KINABALU, 31 Jan – Penduduk di sekitar daerah Sipitang dan Beaufort di Sabah serta Labuan panik seketika apabila digemparkan dengan bunyi letupan dan gegaran kira-kira 11 pagi tadi.

Mereka mendakwa letupan dan gegaran itu dirasai kira-kira 10 saat.

Seorang pekerja binaan di Beaufort, Jamlan Zainudin, 44, berkata pada mulanya beliau menyangka rumah yang dibaik pulihnya roboh.

“Kejadian itu berlaku sekejap, mulanya bunyi dentuman selepas itu bergegar sehingga menyebabkan penduduk di sini panik.

“Kami semua keluar dari rumah ingatkan rumah roboh. Saya dan rakan-rakan kemudian menghubungi ahli keluarga untuk pastikan mereka selamat,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Seorang guru, Aminah Siddek, 38, yang tinggal di Sipitang pula berkata beliau dan keluarga terus keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri setelah merasai gegaran tersebut.

“Mulanya ingat ada kejadian gempa bumi di kawasan sekitar, tetapi tiada pula jumpa apa-apa maklumat, bila buka Facebook penuh cerita sampai ke Labuan merasai gegaran ini,” katanya.

Beliau berkata pelbagai andaian dan dakwaan dibuat oleh pengguna media sosial, justeru beliau berharap orang ramai hanya mempercayai maklumat daripada sumber yang sahih.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Azmir Abdul Razak berkata pihaknya sedang melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca letupan serta gegaran tersebut, dan meminta penduduk di kawasan terlibat supaya bertenang.

“Kita sedang kesan lokasi punca kejadian itu (letupan dan gegaran), setelah dikenal pasti baru kita akan buka kertas siasatan,” katanya menerusi aplikasi Whatsapp kepada pemberita di sini.

Beliau turut menafikan dakwaan pengguna di media sosial bahawa kerja-kerja memusnahkan bom lama yang ditemui di Labuan baru-baru ini, menjadi punca gegaran serta letupan itu kerana operasi memusnahkan bom itu dilakukan semalam. – Bernama

Related Articles

Leave a Reply