Home Semasa COVID-19: 5,728 kes baharu, sekali lagi Malaysia catat angka harian tertinggi

COVID-19: 5,728 kes baharu, sekali lagi Malaysia catat angka harian tertinggi

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 30 Jan – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan sebanyak 5,728 kes baharu COVID-19 dikesan dalam masa 24 jam, pertambahan 3 kes berbanding semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menjelaskan, pertambahan kes baharu ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan penularan dalam negara mencecah 209,661 kes dan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan pula adalah 47,388 kes.

“Daripada jumlah kes baharu itu, sebanyak 5,723 adalah penularan tempatan, sementara 5 kes import,

“Manakala, bagi kes sembuh, sebanyak 3,805 dilaporkan. Ia menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh setakat ini adalah sebanyak 161,527 kes,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada hari ini, Selangor terus merekodkan pertambahan kes harian tertinggi sebanyak 3,285 dan ia menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri itu adalah sebanyak 65,474 kes.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 792 kes dan Kuala Lumpur sebanyak 480 kes,” ujarnya.

Selain itu, Dr Noor Hisham berkata, sehingga kini terdapat 319 pesakit dilaporkan dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala 120 pesakit memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 13 lagi kematian direkodkan hari ini, dengan jumlah keseluruhan kematian akibat COVID-19 meningkat kepada 746 kes. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply