JAKARTA, 28 Jan – Hampir 300 pelarian Rohingya yang dilaporkan hilang dari kem pelarian di Aceh dipercayai cuba memasuki Malaysia.
Menurut pihak pengurusan kem , hanya 112 daripada 400 orang pelarian yang tinggal di kem Lhokseumawe, utara Sumatera.
Kem tersebut dibina pada tahun lalu bagi menampung pelarian Rohingya yang mendarat di Indonesia.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa Indonesia dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengakui mereka gagal untuk mengetahui kedudukan sebenar para pelarian tersebut.
“Kami belum dapat sebarang maklumat ke mana mereka pergi. Mereka sentiasa mencari jalan untuk melepaskan diri sekiranya ada peluang,” kata Ridwan Jamil, ketua kumpulan kerja Rohingya di Lhokseumawe yang dipetik oleh AFP.
Sementara itu, jurucakap UNHCR Indonesia, Mitra Suryono menjelaskan para perlarian terbabit dipercayai cuba memasuki Malaysia.
“Kebanyakan pelarian ini mempunyai saudara-mara di negara lain termasuk Malaysia,
“Ini adalah punca mengapa pelarian ini cuba meneruskan perjalanan ke negara lain.,” katanya.
Beliau menambah, pihak UNHCR telah berusaha mengingatkan para pelarian terbabit akan bahaya dihadapi oleh mereka sekiranya bertindak meninggalkan khemah dan menggunakan perkhidmatan para penyeludup.
Pada 20 januari lalu, polis Indonesia telah berjaya menahan 18 pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya di Batu Bara, selatan Medan.
Menurut AFP, kawasan tersebut menjadi titik panas persinggahan kepada para pelarian Rohingya untuk diseludup masuk ke Malaysia.
Kem Lhokseumawe sebelum ini dibawah kawalan pasukan keselamatan Indonesia dan kemudiannya diambil alih oleh UNHCR pada Disember lalu. -airtimes.my