Home Pertahanan dan Keselamatan Kompetensi anggota antara cabaran utama ATM 2021 – Panglima Angkatan Tentera

Kompetensi anggota antara cabaran utama ATM 2021 – Panglima Angkatan Tentera

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 28 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dijangka akan menghadapi 3 cabaran utama pada tahun 2021.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM ketika membentangkan Perutusan Tahun Baru 2021 secara sidang video berkata, antara cabaran tersebut adalah COVID-19, perolehan peruntukan kewangan bagi perbelanjaan dan Kompetensi Warga ATM.

“ATM kini telah menjangkau usianya yang ke 87 tahun. Ianya merupakan suatu tempoh yang agak panjang dan saya yakin, ATM telah melalui pelbagai halangan dan rintangan dalam memastikan ianya mampu berdiri teguh sehingga ke hari ini,

“Kepercayaan yang telah diberikan oleh rakyat dan negara tidak boleh kita ambil mudah kerana kedaulatan negara dan keutuhan wilayah merupakan perkara utama kepada kestabilan serta keselamatan negara,” katanya dalam perutusan itu, semalam.

Cabaran pertama: COVID-19

Affendi berkata, ATM perlu memastikan pembudayaan norma baharu serta pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) diteruskan.

“Selain itu, ATM perlu memperkukuh dan memperkemaskan pelaksanaan Op Benteng bagi menghalang pendatang asing tanpa izin (PATI) membolosi sempadan negara,

“Ia dikhuatiri risiko penyebaran semula virus boleh berlaku yang akhirnya akan mengagalkan usaha kerajaan untuk menghentikan pandemik ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata perolehan pertama vaksin COVID-19 dijangka diperolehi seawal bulan Februari 2021 dan ianya akan diberikan kepada petugas-petugas barisan hadapan untuk fasa pertama ini.

Cabaran kedua: Perolehan peruntukan kewangan bagi perbelanjaan ATM

Menurutnya, pada tahun ini ATM telah diberikan peruntukan kewangan sebanyak RM 16 billion, iaitu peningkatan sebanyak RM 400 juta berbanding peruntukan pada tahun sebelumnya.

“Walaupun terdapat peningkatan terhadap peruntukan yang diberikan, kita masih perlu berhemah dan rasional dalam melakukan perbelanjaan,

“Perlu diingat bahawa, ATM melalui Strategi Ketenteraan Negara (SKN) 2.0 dan 4DMAF sedang giat merancang keupayaan pembangunan yang berkonsepkan force synergy,

“Ianya mempunyai 5 ciri utama iaitu kebersamaan (jointness),13 kebolehoperasian (force integration), berasaskan teknologi, keupayaan untuk beroperasi serentak dalam dua wilayah dan berasaskan misi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai keunikan Kertas Putih Pertahanan (KPP) adalah merupakan satu dokumen yang telah diterima oleh negara.

“KPP telah menjanjikan suatu landasan bagi ATM untuk mendapatkan perbelanjaan sewajarnya dalam membangunkan keupayaan secara holistik,

“Justeru, amatlah penting agar perancangan dan perbelanjaan yang akan dilakukan mengambilkira semua aspek melibatkan ketiga-tiga cabang perkhidmatan darat, laut dan udara,” jelasnya.

Affendi juga berkata jika ATM tidak berwaspada, berkemungkinan terperangkap ke dalam ‘Sindrom Angkatan Lompong’ atau Hollow Force Syndrom yang akan menjejaskan usaha kita untuk menjadi sebuah Angkatan Masa Hadapan sepertimana yang diharapkan di dalam KPP.

Cabaran ketiga: Kompetensi Warga ATM

Tegas Affendi, cabaran ini memerlukan perhatian khusus daripada kita semua adalah Kompetensi Warga ATM.

Dalam ucapan yang sama, Affendi berkata perubahan teknologi semasa yang meningkat dengan pesat serta Revolusi Perindustrian 4.0 yang telah diwarwarkan sejak tahun 2011, perlulah dijadikan sebagai penanda aras kepada tahap kompetensi warga ATM.

“Dengan adanya penanda aras ini, warga kita akan dapat menjadi warga yang mahir teknologi sekaligus mampu mengoperasikan segala jenis peralatan dan sistem dengan lebih efisien,

“Pada masa sama, mereka juga mampu menghasilkan sendiri program atau software yang diperlukan tanpa kita perlu bergantung kepada pembekal luar negara,” katanya dalam perutusan itu. – airtimes.my

 

 

 

 

Related Articles

Leave a Reply