Home Diskusi Eksklusif: Agong lebih memahami situasi untuk isytihar Darurat – Buzze Azam

Eksklusif: Agong lebih memahami situasi untuk isytihar Darurat – Buzze Azam

by M.Daim

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=OWsG00FP0BY[/embedyt]

 

Tanggal 12 Januari 2021, negara dikejutkan dengan pengumuman Darurat oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Pengumuman itu dibuat sejurus kenyataan media Istana Negara yang menyatakan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan Proklamasi Darurat.

Pengiystiharan ini sekaligus mengambarkan suasana genting negara ketika menghadapi gelombang wabak COVID-19 yang kian meruncing.

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan telah diumumkan di 6 buah negeri sehari sebelum Darurat diisytiharkan.

Dalam tempoh seminggu selepas Darurat dikuatkuasakan, masih banyak pihak menimbulkan persoalan mengenai keabsahan mengenai langkah yang diumumkan oleh Seri Padukan Baginda Yang di-Pertuan Agong.

Tidak kurang juga terdapat pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di Mahkamah sehingga menumbulkan rasa tidak senang di kalangan masyarakat tempatan.

Air Times berpeluang untuk bersemuka dengan seorang peguam yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam isu Perlembagaan Persekutuan, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz atau lebih dikenali sebagai Buzze Azam.

Perlembagaan Persekutuan dan Darurat

Menurut beliau, Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan adalah ibu atau punca kuasa yang menyentuh Proklamasi Darurat.

“Darurat boleh diisytiharkan sekiranya Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berpuas hati telah berlaku satu ancaman terhadap tiga perkara iaitu keselamatan negara, ketenteraman awam, dan ketenteraman awam dalam negara,

“Sekiranya salah satu atau ketiga-tiga elemen ini diancam, Baginda boleh mengeluarkan proklamasi Darurat untuk menghentikan ancaman ini,

“Proklamasi Darurat boleh dikeluarkan mengikut Fasal 1 atau Fasal 2 Perkara 150 Perlembagaan,” jelas Buzze Azam kepada Air Times.

Menurut beliau, kuasa yang diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong dalam hal darurat adalah meluas. Melalui Fasal 1 dan Fasal 2 Perkara 150 Perlembagaan, Baginda boleh mengisytiharkan darurat sebelum, ketika atau selepas sesuatu perkara berlaku.

“Fasal 1 Perkara 150 adalah menyentuh pengisytiharan darurat semasa sesuatu perkara

sedang atau telah berlaku,

“Fasal 2 pula menyentuh Proklamasi Darurat untuk sesuatu perkara yang dijangka akan berlaku,

“Ini adalah satu asas yang perlu difahami terlebih dahulu,” ujarnya.

Menyentuh Proklamasi Darurat 2021, Buzze Azam menjelaskan ianya adalah termaktub kepada Fasal 1 Perkara 150.

Merujuk kepada dokumen Perlembagaan Persekutuan, Fasal 1 Perkara 150 adalah seperti berikut:

“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian.

Fasal 2 pula:

Proklamasi Darurat di bawah Fasal (1) boleh dikeluarkan sebelum sebenarnya berlaku kejadian yang mengancam keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa kejadian sedemikian hampir benar berlaku.

COVID-19 dan Darurat – Agong lebih tahu apa yang berlaku

 Buzze Azam menegaskan keputusan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Darurat bukan sekadar mendapat nasihat dari Perdana Menteri.

“Selain daripada menerima sembah mengadap Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong juga diberitakan turut menerima menghadap daripada Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Peguam Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Setiausaha Negara dan sebagainya,

“Perkara ini telah dinyatakan melalui kenyataan media Istana Negara,” jelas beliau.

 Menurutnya, perkara ini sudah cukup menjelaskan bahawa Baginda telah menerima pelbagai maklumat dan diberi gambaran yang lebih luas mengenai situasi dalam negara.

“Yang di-Pertuan Agong sudah tentu mendapat maklumat yang lebih terperinci dan mungkin apa yang disampaikan kepada Baginda adalah bertaraf Rahsia Besar,

“Sebagai contoh, pihak yang bertanggungjawab hal Keselamatan Negara memberikan taklimat terperinci mengenai hal keselamatan kepada Baginda,

“Begitu juga dengan Ketua Pengarah Kesihatan, maklumat berdarjah sebegini sudah pasti tidak akan disampaikan kepada umum,” jelasnya.

Beliau menambah, rakyat Malaysia perlu percaya bahawa Yang di-Pertuan Agong telah membuat pertimbangan sewajarya.

“Sudah tentu Baginda berpuas hati bahawa sesuatu Proklamasi Darurat hendaklah dikeluarkan bagi menenangkan dan mendamaikan keadaan yang berlaku sekarang ini,” katanya. – airtimes.my

Ikuti siri kedua wawancara eksklusif bersama Buzze Azam pada hari Selasa di portal Air Times News Network.

Related Articles

Leave a Reply