Home Pertahanan dan Keselamatan Op Benteng: ATM tahan 4 warga tempatan cuba seludup barangan keperluan ke Indonesia

Op Benteng: ATM tahan 4 warga tempatan cuba seludup barangan keperluan ke Indonesia

by Air Times News Network

SERIKIN, 19 Jan – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Operasi Benteng (Op Benteng) berjaya menahan 4 orang warga tempatan cuba menyeludup keluar barangan keperluan harian kira-kira 500 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia, semalam.

Sel Perhubungan Raya, Divisyen Pertama Infantri Malaysia dalam satu kenyataan berkata, penahanan tersebut dibuat oleh sepasukan anggota tentera yang sedang melaksanakan Op SERKAP dan Op Penawar di sektor Serikin.

Anggota tentera memeriksa lori yang membawa pelbagai barang untuk di bawa keluar dari Malaysia – Foto: Mk 1 Div

Menerusi Op SERKAP, sepasukan anggota tentera telah menahan 2 buah lori yang dipandu 2 lelaki warga tempatan sedang menuju ke arah sempadan Malaysia–Indonesia.

“Hasil siasatan mendapati lori-lori membawa pelbagai muatan barangan keperluan harian serta barangan makanan yang ingin di bawa keluar ke sempadan,” kata kenyataan itu.

Pada waktu yang sama, anggota SJR di kawasan tersebut turut menahan 2 lelaki menaiki motosikal.

“Mereka menggunakan helah ingin menghantar duit kepada ahli keluarga yang berada di rumah sakit Bengkayang, Indonesia,

2 individu yang merupakan sebahagian daripada anggota kumpulan yang ditahan sebelum ini – Foto: Mk 1 Div

“Walau bagaimanapun, hasil siasatan mengesyaki 2 individu tersebut merupakan sebahagian daripada anggota kumpulan yang ditahan sebelum ini,” ujarnya.

Nilai keseluruhan barangan yang ditahan dianggarkan berjumlah RM162,480.00 termasuk 2 buah lori dan pelbagai barangan makanan serta keperluan lain.

ATM melalui hantaran sama berkata, akan terus komited meneruskan Op Benteng dalam menghindar kegiatan jenayah rentas sempadan serta aktiviti menyelinap masuk ke Sarawak demi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara kekal terpelihara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply