Home Pertahanan dan Keselamatan Rejimen Askar Jurutera Diraja bina jambatan bantu 2,600 penduduk terjejas di Maran

Rejimen Askar Jurutera Diraja bina jambatan bantu 2,600 penduduk terjejas di Maran

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 13 Jan – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menghantar 91 Rejimen Bantuan, Rejimen Askar Jurutera Diraja (91 RAJD) dan 2 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (2 Skn RAJD) untuk membina jambatan sementara di Kampung Belimbing, Maran.

Pihak TDM dalam satu kenyataan berkata, proses pembinaan Jambatan Compact Bailey 200 itu telah dilaksanakan semenjak 12 Januari lalu.

“Pembinaan jambatan tersebut dibuat bagi menghubungkan semula 3 lokasi terjejas iaitu Kampung Serengkam, Sri Makmur dan Sri Jaya akibat jambatan runtuh oleh arus sungai yang deras,

“Jambatan ini akan memberikan manfaat kepada lebih 2,600 penduduk di kawasan terbabit,” kata kenyataan itu.

Usaha membina jambatan Compact Bailey 200 di Kampung Belimbing, Maran sedang giat dijalankan semenjak 12 Januari lalu. Foto: Air Times/Faizie

Menurutnya, pembinaan jambatan ini merupakan yang kedua oleh TDM di negeri Pahang. Jambatan pertama telah siap di Kampung Lechar, Ulu Dong, Raub pada 9 Januari lalu.

“Proses pemasangan jambatan tersebut melibatkan keanggotaan seramai kira-kira 115 pegawai dan anggota TDM, diketuai oleh Pegawai Memerintah 91 RAJD, Kolonel Muhammad Zamri Musa,

“Pembinaan jambatan ini dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerjasama daripada Jabatan Kerja Raya (JKR),” ujarnya.

Dalam kenyataan yang sama, pihak TDM menegaskan mereka telah membuat persediaan dan persiapan rapi bagi memberi bantuan kepada mana-mana kawasan yang terjejas akibat banjir.

“TDM juga sentiasa bersiap sedia dan memantau perkembangan banjir yang melanda dengan kerjasama agensi-agensi penyelamat melalui Op Murni,

“Usaha ini juga selaras dengan Teras Kementerian Pertahanan (KEMENTAH), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tonggak Perintah Ulung Panglima Tentera Darat iaitu Meningkatkan Kerjasama ATM dan TDM Bersama Dengan Agensi Awam Dan Rakyat,” kata kenyataan itu lagi. – airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply