Home PolitikPakatan Harapan Muhyiddin usul darurat kerana kehilangan majoriti – Majlis Presiden Pakatan Harapan

Muhyiddin usul darurat kerana kehilangan majoriti – Majlis Presiden Pakatan Harapan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) hari ini menegaskan pendirian mereka bahawa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan darurat kerana beliau kehilangan sokongan untuk membentuk kerajaan.

“Tindakan oleh Muhyiddin adalah tidak boleh diterima sama sekali. Oleh itu, beliau jangan berselindung disebalik COVID-19 dan membebankan rakyat dengan pengisytiharan darurat demi kepentingan diri,” kata kenyataan bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu dan Lim Guan Eng.

Menurut kenyataan itu, Majlis Presiden PH menolak rasional dan alasan oleh Perdana Menteri untuk mengusulkan darurat.

“Kami berpendapat bahawa undang-undang sedia ada termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah mencukupi untuk mengumpul segala sumber dan kekuatan bagi mengatasi wabak ini,

“Kerajaan tidak perlu menggunakan kuasa darurat untuk mendapatkan kerjasama dari sektor perubatan swasta untuk memerangi COVID-19,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Majlis Presiden PH turut menegaskan darurat hanya perlu diisytiharkan di kawasan tertentu bagi mengelakkan pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri.

“Perisytiharan darurat bagi sesebuah bahagian Parlimen atau Dewan Undangan Negeri adalah memadai,

“Bagi Pilihanraya Negeri Sarawak pula, ia tidak perlu dilakukan sehingga selewat-lewatnya penghujung Ogos 2021,

“Pilihanraya Umum ke-15 pula hanya perlu diadakan menjelang 2023. Oleh itu, alasan yang dikemukakan Perdana Menteri dalam isu ini tidak dapat diterima sama sekali.,” jelasnya.

Menurut kenyataan itu, tindakan menggantung Parlimen dan Dewan-dewan Undangan Negeri pada ketika pihak eksekutif dan kehakiman masih boleh berfungsi seperti sedia kala menjejaskan proses semak imbang, merencat demokrasi negara dan menafikan suara rakyat.

“Kuasa darurat ini bermakna memberi kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk melakukan hampir apa sahaja dan sewenang-wenangnya,

“Kami turut risau bahawa perisytiharan darurat ini akan menjejaskan usaha menghidupkan semula ekonomi serta keyakinan pelabur,

“Ianya tidak akan membantu mengatasi masalah pengangguran dan kehilangan pendapatan di kalangan rakyat,” katanya. -airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply