Home Pertahanan dan Keselamatan Rangkaian data milik ATM digodam – Panglima Angkatan Tentera

Rangkaian data milik ATM digodam – Panglima Angkatan Tentera

by Azura Daril

KUALA LUMPUR, 29 Dis – Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM mengesahkan berlakunya serangan siber terhadap rangkaian data milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM), semalam.

Walau bagaimanapun, beliau berkata serangan siber tersebut gagal menjejaskan operasi portal ATM sebaliknya hanya berjaya menggodam segmen tertentu yang telah diletakkan di luar rangkaian sejak awal lagi.

“Insiden telah dapat dikesan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) ATM,

“Sebaik serangan bermula, BSEP dan CDOC telah melaksanakan pengasingan trafik data untuk mengaburkan lokasi sebenar data berdarjah serta melindungi rangkaian yang menjadi sasaran penggodam,

“Selain itu, ATM juga menyedari wujudnya cubaan serangan siber yang berterusan terhadap rangkaian maklumat yang dimiliki oleh pihak Kementerian Pertahanan dan ATM,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Portal rasmi ATM telah dikesan digodam baru-baru ini.

Affendi berkata, aspek keselamatan siber ATM sentiasa bersiap sedia bagi memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan dapat dikesan awal serta ditangani sewajarnya.

“ATM akan sentiasa memantau dan mempertingkatkan aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa terutama melalui peranan BSEP dan CDOC,” jelasnya.

Menurutnya, peranan BSEP dan CDOC adalah amat penting bukan sahaja dalam memperkukuhkan rangkaian pemantauan serta pertahanan komunikasi ATM, selain turut melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply