Home Semasa APMM rampas ganja bernilai RM1.5 juta di Kuala Perlis

APMM rampas ganja bernilai RM1.5 juta di Kuala Perlis

by Hazli Fikri

KUALA PERLIS, 28 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Perlis berjaya mematahkan cubaan menyeludup ketulan ganja mampat seberat 300 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM1.5 juta, dalam satu Op Khas di perairan Kuala Perlis pada Selasa lepas.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim APMM Kedah dan Perlis, Kapten Zulinda Ramly berkata, dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi, sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran ditahan di perairan negeri Perlis, pada jarak 0.4 batu nautika (kira-kira 600 meter dari pantai) dari barat pantai Sungai Padang.

“Kejadian bermula dengan pengesanan suspek, iaitu seorang lelaki mengemudi bot fiber memasuki perairan Kuala Perlis sekitar jam 3.00 pagi,

“Bot peronda Maritim Malaysia yang bersiap sedia melakukan serbuan dan tangkapan telah bergerak ke lokasi kejadian menuju ke arah bot berkenaan,

“Menyedari kehadiran bot pihak berkuasa, bot fiber tersebut telah menukar haluan dan memecut laju ke arah kawasan hutan paya bakau, namun bot berjaya dipintas oleh Bot Peronda Maritim,” katanya dalam hantara di media sosial APMM.

Beliau berkata, tekong telah bertindak nekad terjun ke laut meninggalkan bot dan berenang melarikan diri ke dalam paya bakau berhampiran.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan, anggota penguatkuasa Bot Peronda menjumpai 11 bungkusan guni yang mencurigakan di dalam petak ikan,

“Pemeriksaan lanjut menemukan ketulan mampat berbentuk kotak dibalut kemas dengan plastik putih disyaki ganja mampat, yang dibawa masuk dari negara jiran,” ujarnya.

Tambahnya, setiap bungkusan ganja mampat itu seberat satu kilogram. Keseluruhan ganja mampat yang dirampas seberat 300kg dengan anggaran nilai sekitar RM 1.5 juta.

Manakala nilai keseluruhan rampasan termasuk ketulan ganja mampat, bot fiber berserta enjin sangkut dianggarkan sekitar RM 1.53 juta.

“Semua hasil rampasan dibawa ke Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat bagi siasatan di bawah Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952,

“Ini merupakan rampasan ganja yang kedua terbesar oleh Zon Maritim Kuala Perlis selepas rampasan pertama pada 15 November 2020 lalu yang juga membabitkan rampasan sebanyak 300 kilogram ketulan ganja,” katanya lagi.

Menurut Zulinda, kejayaan ini adalah menerusi intipan dan risikan yang dilakukan untuk mematahkan sidiket penyeludupan dadah antarabangsa di perairan negara.

“Penyeludupan ganja ini dipercayai untuk pasaran sekitar utara Semenanjung Malaysia merangkumi negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” ujarnya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply