SUNGAI UDANG, 24 Dis – Seramai 7 orang pegawai dan 39 anggota lain-lain pangkat (LLP) Tentera Darat Malaysia (TDM) berjaya menamatkan Kursus Asas Komando Siri AK/2/2020 hari ini setelah melalui pelbagai cabaran dan peringkat latihan sejak 3 bulan lalu.
Majlis penutup kursus ini telah disempurnakan oleh Ketua Staf Am Markas 21 Gerup Gerak Khas (GGK), Brigedier Jeneral Khairul Anuar Yaakob di Pantai Betutu Laut, Kem Sungai Udang, Melaka.
“Saya dan seluruh warga Gerak Khas mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas di atas kejayaan saudara-saudara sekalian,
“Kejayaan saudara pada hari ini memberi kesan besar terhadap pembangunan modal insan Gerak Khas khususnya dan TDM amnya,
“Pelaksanaan kursus ini adalah terbuka dan memilih warga Tentera Darat (TD) dari elemen tempur dan bantuan tempur yang betul-betul layak berkhidmat dalam GGK,” katanya.
Khairul dalam ucapan juga mengingatkan semua anggota Komando yang baru tamat latihan ini supaya sentiasa berdisiplin, patuh arahan dan peraturan ketenteraan serta memegang teguh ikrar anggota Komando.
“Dengan keadaan geo strategik serantau sentiasa berubah dan semakin kompleks memerlukan persiapan diri dalam ilmu medan perang untuk bersedia diaturgerkan pada bila-bila masa kerana Gerak Khas merupakan ‘the force of choice’ dalam menangani sebarang ancaman,” tambahnya.
Turut hadir, Mantan Panglima 21 GGK Mejar Jeneral (Bersara) Datuk Zolkopli Hashim, Komandan Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kolonel Nubli Hashim dan pegawai-pegawai kanan Gerak Khas serta para jurulatih.
Pada majlis penutup itu, Leftenan Muda Adsmar Hussin dari Batalion ke-2 Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) dianugerahkan penuntut terbaik Kursus Asas Komando Siri AK/2/2020.- airtimes.my