Home Pertahanan dan Keselamatan Belanjawan selenggaraan aset pertahanan penting untuk jaga negara

Belanjawan selenggaraan aset pertahanan penting untuk jaga negara

by Azura Daril

KUALA LUMPUR, 23 Dis – Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz hari ini menegaskan peruntukkan Belanjawan 2021 akan digunakan untuk proses penyelenggaraan aset pertahanan dan fasiliti Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Menurutnya, proses senggaraan aset strategik ATM adalah penting demi menjaga kesiapsiagaan pasukan serta jangka hayat peralatan tersebut. Pada masa yang sama, ianya akan memastikan pengoperasian aset strategik ATM berada pada tahap optimum dan berupaya untuk diaturgerak pada bila-bila masa.

Dibawah Belanjawan 2021, ATM telah diperuntukkan sebanyak RM 2.3 bilion untuk membaikpulih dan menyelenggara aset pertahanan.

“RM 1.76 bilion akan diperuntukkan untuk kerja senggaraan aset pertahanan utama ATM melibatkan jentera strategik yang melibatkan kenderaan pelbagai jenis, kapal, pesawat dan alat kelengkapan pertahanan,

“RM 540 juta pula diperuntukkan untuk tujuan penyelenggaraan dan pembaikkan kecil seperti selenggaraan fasiliti kem, pangkalan, bangunan pejabat, kenderaan, peralatan ICT dan komunikasi,

“Selaras dengan usaha kerajaan dalam menangani isu keselamatan akibat pandemik COVID-19 yang melanda negara, agihan jumlah peruntukan yang tinggi bagi tujuan penyelenggaraan aset ATM dapat membantu serta mengawal sempadan negara dengan mengaturgerak aset-aset strategik di darat, laut dan udara,” jelasnya semasa sesi soalan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Walaupun terdapat aset ATM yang memerlukan selenggaraan segera tetapi beliau memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kesiapsiagaan pasukan tentera adalah dalam keadaan sedia sebilang masa. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply