GEORGETOWN, 20 Dis – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang telah menahan sebuah bot nelayan asing warga Indonesia yang menceroboh perairan negara di kedudukan 52 batu nautika barat daya Pulau Kendi, Pulau Pinang pada jam 2.37 petang, Jumaat lalu.
Pengarah APMM Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, bot nelayan asing yang disyaki daripada Indonesia itu dikesan sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan negara oleh KM Perwira semasa melaksanakan rondaan rutin OP Benteng Laut dan Op Pertiwi 01/2020.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati, bot yang dikendalikan 5 kru termasuk tekong itu berumur dalam lingkungan 22 hingga 46 tahun dan dipercayai warga Indonesia.
“Kesemua mereka tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki sebarang kebenaran melakukan aktiviti penangkapan ikan di perairan Malaysia,
“Bot dan tahanan dibawa ke APMM Pulau Pinang bagi proses saringan COVID-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat APMM untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, kes akan disiasat di bawah Sek 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985 iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran Ketua Pengarah Perikanan Malaysia.
“Jika disabitkan kesalahan, tekong boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 1 juta atau penjara tidak melebihi 3 tahun, manakala kesemua awak-awak boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 100 ribu setiap atau penjara tidak melebihi 2 tahun,” jelasnya.
Abd Razak mengesa orang ramai dan persatuan-persatuan nelayan untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat serta melaporkan sebarang aktiviti kesalahan di laut ke Pusat Operasi APMM Pulau Pinang. – airtimes.,my