Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat PATI bawa dadah balik kampung dicekup

PATI bawa dadah balik kampung dicekup

by Nurulhuda

KOTA TINGGI, 19 Dis – Seramai 35 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba pulang ke negara asal melalui lorong tikus ditahan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) di persisir Pantai Kampung Sungai Rengit, Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor, malam tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan berkata, kejadian yang berlaku di sektor Operasi Benteng (Op Benteng) bawah tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) itu adalah hasil maklumat daripada orang awam yang melaporkan terdapat kemasukan aktiviti PATI sedang berkumpul di persisir pantai tersebut.

“Pada jam 10.45 malam, anggota Pos Pemerhati mengesan 2 buah bot sedang berlegar di kawasan Pulau Che Kamat berhampiran Pantai Kampung Sungai Rengit,

“Pasukan bertindak menghubungi pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk membuat pemantauan di sekitar kawasan tersebut. Pada masa sama, tim Quick Reaction Force (QRF) turut digerakan bagi membuat penjejakan,

“Hasil serbuan yang dilakukan oleh tim QRF pada jam 11.20 malam telah berjaya menangkap 35 PATI warga Indonesia terdiri daripada 32 lelaki dan 3 perempuan berusia 21 hingga 57 tahun dipercayai sedang menunggu bot untuk dibawa pulang ke negara asal,” menurut kenyataan itu.

Menurutnya, salah seorang daripada PATI tersebut memiliki dadah jenis syabu semasa pemeriksaan yang dilakukan di Markas Taktikal Tanjung Sepang.

“Dadah yang dianggarkan seberat 750 gram itu dibungkus dalam 15 bungkusan plastik,

“Individu tersebut merupakan warga Indonesia berusia 32 tahun dan mempunyai sejarah perjalanan sebanyak 3 kali memasuki Malaysia melalui jalan tidak sah,” tambahnya.

Nilai rampasan keseluruhan tangkapan dianggarkan berjumlah RM 110,422.26 melibatkan wang tunai matawang Malaysia RM 18,319.44, matawang Indonesia 50,587,200.00 (RM14,527.06) serta beberapa matawang lain.

“Turut dirampas adalah telefon pintar, barangan kemas, jam tangan dan termasuk dadah jenis syabu seberat 750 gram yang dianggarkan bernilai RM 41,250.00,

“Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia. Laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai,” jelasnya.

Kumpulan QRF meneruskan atur gerak bagi menjejak saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply