Home Semasa COVID-19: 1,153 kes baharu, satu kematian dilaporkan

COVID-19: 1,153 kes baharu, satu kematian dilaporkan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 19 Dis – Kes positif COVID-19 di Malaysia terus mencatatkan angka empat digit dengan 1,153 kes baharu dan satu kematian direkodkan hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, dengan perkembangan terbaharu itu, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di Malaysia kini sebanyak 91,969 kes, manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 sebanyak 15,294 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat 2 kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan COVID-19 dalam negara pula adalah sebanyak 1,151 kes.

Beliau menegaskan, Selangor kekal melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 401 kes. Ini diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 281 kes dan Sabah yang melaporkan sebanyak 199 kes.

“Sebanyak 176 kes yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di penjara dan depot tahanan imigresen yang membabitkan Kluster Penjara Jalan Harapan (96 kes) dan Kluster Tembok (80 kes),

“Terdapat 112 kes positif COVID-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana 56 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam kenyataan pada hari ini.

Dr Noor Hisham turut menjelaskan, sebanyak 998 kes sembuh COVID-19 dilaporkan hari ini dan ia menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya adalah sebanyak 76,242 kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham mengesahkan satu kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan seorang pesakit wanita yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan dislipidemia di Hospital Pulau Pinang.

Terdapat sebanyak 440 kluster telah dilaporkan termasuk 5 kluster baharu pada hari ini. Jumlah kluster yang telah tamat pula adalah sebanyak 241 kluster termasuk 3 kluster yang tamat pada hari ini iaitu Kluster Softwood LD di Sabah, Kluster Besi Demak di Sarawak dan Kluster Rajawali di Pulau Pinang.

“Ini menjadikan jumlah kluster aktif yang dipantau adalah sebanyak 199 kluster,” tambahnya. –airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply