Home Pertahanan dan Keselamatan ATM, PDRM, AKSEM laksana ronda sempadan secara bersama mulai Januari 2021

ATM, PDRM, AKSEM laksana ronda sempadan secara bersama mulai Januari 2021

by Bernama

BUKIT KAYU HITAM, 13 Dis – Operasi kawalan sempadan di bahagian utara Semenanjung tanah air akan dilaksanakan secara bersepadu termasuk dari segi rondaan kawasan oleh semua agensi keselamatan yang berkaitan, mulai Jan ini.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah itu yang membabitkan tiga agensi iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) adalah antara penambahbaikkan yang akan dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan kawalan.

“Sekarang ini dari segi kawalan kita bahagikan kawasan, sebagai contoh kawasan di sini dijaga oleh ATM di bawah Op Pagar 2 dan di kawasan lain pula dijaga oleh PDRM (di bawah Pasukan Gerakan Am), jadi kita membahagikan kawasan.

“Mulai tahun depan, kita akan mulakan Op Benteng sebenar seperti dilaksanakan di kawasan lain terutamanya di kawasan penjagaan laut seperti di pantai barat Semenanjung dan Sabah serta Sarawak iaitu operasi secara bersepadu,” katanya dalam semalam.

Katanya, langkah itu akan membolehkan pasukan keselamatan yang melakukan rondaan secara bersama membuat tangkapan ke atas penceroboh mengikut peruntukkan undang-undang di bawah bidang kuasa agensi berkaitan.

“Dari segi kuasa, ATM tiada kuasa menangkap, jadi bila terdapat pencerobohan, polis akan dipanggil untuk bantu dari segi tangkapan, ATM pula hanya boleh bertindak terhadap pihak yang dianggap sebagai musuh negara.

“Jadi, bila keadaan di mana pendatang tanpa izin dan penyeludup masuk ke negara kita, mereka tidak dianggap musuh negara walaupun ATM mengawal sempadan, jadi polis atau Aksem yang boleh mengambil tindakan,” katanya. -Bernama

Related Articles

Leave a Reply