Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Laut Pangkalan TLDM baharu di timur Sabah penuhi kehendak rakyat tingkatkan keselamatan

Pangkalan TLDM baharu di timur Sabah penuhi kehendak rakyat tingkatkan keselamatan

by Bernama

SANDAKAN, 12 Dis – Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) baharu di Sandakan yang sesuai dengan fungsinya sebagai markas pemerintahan serantau pada 2017 akan memenuhi harapan rakyat untuk mempertingkatkan aspek keselamatan, khususnya di timur Sabah.

Panglima Wilayah Laut 2, Laksamana Muda Datuk Sabri Zali berkata pangkalan tentera laut yang dibangunkan di timur Sabah bukan sahaja selaras dengan aspirasi rakyat yang inginkan lebih ramai kehadiran tentera, tetapi juga menyumbang kepada ekonomi negeri kerana lebih banyak kapal akan ditempatkan di sini.

“Terdapat tiga projek pembangunan yang kami (Markas Wilayah Laut 2/Mawilla 2) pohon dan rancangkan, khususnya pangkalan induk (Mawilla 2) di Sandakan – markas baharu dan lebih besar di atas tanah kerajaan negeri seluas 2.26 hektar, perluasan jeti dan tambahan 300 rumah keluarga untuk pegawai dan anggota.

“Pangkalan itu juga akan menempatkan tempat penyimpanan peluru dan bahan letupan, yang pada masa ini berada di gudang disewa dan kami merancang untuk memperluaskan jeti sedia ada (0.4 hektar) sebanyak 200 meter lagi (di darat) dan 100 meter di dalam air,” katanya.

Sabri yang akan memulakan tugas baharunya sebagai Panglima Armada Timur pada 18 Disember ini berkata demikian kepada Bernama selepas menyerahkan pemerintahan Mawilla 2 kepada panglima baharu, bekas Timbalan Panglima Armada Timur Laksamana Muda Rusli Ahmad , semalam.

Sementara itu, Sabri berkata beliau akan memberikan khidmat terbaik sebagai Panglima Armada Timur yang baharu untuk mempercepatkan tiga projek pembangunan berkenaan di bawah Rancangan Malaysia ke-12, yang akan dimulakan tahun hadapan.

Rusli pula berkata fokus beliau adalah untuk menambah baik dan memperkuatkan operasi Mawilla 2 kerana panglima sebelum ini telah meletakkan angkatan itu di platform yang baik.

“Bagi melaksanakan perkara ini, saya akan menggunakan pengalaman saya di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) semasa penubuhannya pada 2013.

“Walaupun beroperasi di bawah batasan semasa (pangkalan kecil), kami akan terus memberi keutamaan kepada isu keselamatan dan mengerahkan aset yang memerlukan tindakan mendesak dan berdasarkan keperluan operasi lapangan,” katanya.- Bernama

 

Related Articles

Leave a Reply