Home Pertahanan dan Keselamatan Dron, 2 pos baharu perkasa kawalan sempadan Malaysia-Thailand

Dron, 2 pos baharu perkasa kawalan sempadan Malaysia-Thailand

by Nurulhuda

ARAU, 12 Dis – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, kerajaan akan membina 2 pos kawalan baharu serta menambah kelengkapan moden bagi memperkasa kawalan keselamatan di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau menjelaskan, pos baharu yang akan dibina ini akan menempatkan Tentera Darat Diraja Malaysia (TDM) yang akan bekerjasama dengan Tentera Darat Diraja Thailand.

“Pos Sempadan Terkordinasi ini adalah kawalan bersama Tentera Thailand yang akan dibina di Padang Terap, dimana dalam pos ini TDM dan Tentera Thailand akan membuat kawalan secara bersama, bertukar-tukar maklumat dan memperkasakan kawalan di sempadan negara,

“Ini kerana kita (kerajaan Malaysia) mendapat kerjasama sepenuhnya dari kerajaan Thailand,” katanya ketika sidang media semasa sesi lawatan ke kawasan operasi di Batalion Kelima Rejimen Sempadan (5RS), Kem Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Selain itu, beliau turut menjelaskan, kerajaan juga bersetuju menambah kelengkapan baharu bagi kegunaan anggota ATM di sempadan negara, termasuk peralatan pemantauan teknologi tinggi seperti dron dan CCTV.

“Kita juga akan meningkatkan kawalan berdasarkan penambahan bukan sahaja dari segi persenjataan, tetapi peralatan yang lain seperti menambah motosikal scramble, kenderaan lasak pelbagai bentuk permukaan bumi (ATV) dan sebagainya,

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan meningkatkan kawalan dengan menggunakan teknologi moden sebagai contoh menambah penggunaan dron yang boleh digunakan sepanjang masa dan di setiap kawasan,” tambahnya.

Ismail Sabri turut menambah, kerajaan juga akan mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar pemasangan CCTV di kawasan yang terpilih untuk mengesan kemasukkan pendatang asing tanpa izin (PATI) atau penyeludup dari menceroboh kawasan negara.

“Begitu juga dengan penggunakan radar di beberapa kawasan supaya kita dapat mengesan dengan lebih pantas setiap pergerakkan mereka ini,

“Maknanya kita (ATM) ada 4 lapis, satu kawalan dari pihak tentera, kedua kita ada dron, ketiga ada CCTV dan akhir kita ada penggunaan radar,

“Jika semua ini kita dapat laksanakan disini, saya percaya kawalan kesalamatan akan lebih ketat dan berkesan,” ujarnya.

Menurutnya, beliau yakin dengan adanya kerjasama secara bersepadu antara semua agensi kawalan sempadan dan kawalan bersama tentera Thailand ini akan dapat mempertingkatkan serta memperketatkan kawalan di sempdan negara.

“Selain itu, ia juga dapat mengurangkan pencerobohan PATI dan aktiviti penyeludupan di negara ini,“ ujarnya. –airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply