Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat PUTD terima helikopter MD-530G Jun 2021

PUTD terima helikopter MD-530G Jun 2021

by Nurulhuda

KLUANG, 8 Dis – Pasukan Udara Tentera Darat (PUTD) akan menerima helikopter MD-530G buatan Amerika Syarikat pada bulan Jun tahun hadapan.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain berkata, Tentera Darat Malaysia (TDM) juga telah mewujudkan Tim Nukleus bagi penubuhan Rejimen 882 PUTD bagi memastikan PUTD dapat terus melaksanakan peranannya dalam menangani ancaman keselamatan dengan berkesan.

Katanya, pembinaan kem baru untuk rejimen ini sedang giat dilaksanakan di Kuantan, Pahang sejak 2 Februari 2018 dan dijangka siap pada 16 Jun 2021.

Pada masa yang sama, beliau berkata, pembinaan shelter untuk 3 buah pesawat Agusta A109 LOH di kem Sandakan juga telah dimulakan pada 21 Februari 2020 lalu dan dijangka siap pada 30 April 2021.

Zamrose berkata demikian dalam ucapannya semasa lawatan ulung beliau ke Rejimen 881 PUTD sempena Sambutan Jubli Perak PUTD di kem Mahkota Kluang, hari ini.

Beliau turut berkata, bagi meningkatkan keupayaan operasi serta kemahiran juruterbang, TDM kini sedang mengusahakan penyewaan pesawat bagi menggantikan pesawat Nuri yang telah ditamatkan perkhidmatannya.

“Semua usaha pembangunan ini dilakukan bertujuan bagi memastikan kesiagaan PUTD dapat dikekalkan dan keupayaannya ditingkatkan agar ia benar-benar dapat bertindak sebagai Combat Multiplier kepada formasi-formasi tempur,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Zamrose turut dianugerahkan Beret Kehormat PUTD yang telah disempurnakan oleh Pengarah PUTD, Brigedier Jeneral Yazid Yusuf.

Penganugerahan tersebut merupakan pengiktirafan ke atas sifat kepimpinan, keterampilan, kewibawaan dan kecemerlangan Zamrose sebagai PTD yang ke-28.

Ia juga merupakan penghormatan tertinggi PUTD kepada PTD bagi mengenang jasa dan keperihatinan beliau serta bersempena dengan sambutan Jubli Perak PUTD.

Zamrose turut menyempurnakan acara pemakaian Sayap Juruterbang TDM dan Kuartermaster Udara TDM kepada 2 orang Pegawai dan seorang anggota lain-lain pangkat (LLP) PUTD.

Turut hadir, Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, Asisten Ketua Staf Operasi dan Latihan Tentera Darat, Mejar Jeneral Datuk Hamdan Ismail dan Panglima 7 Briged, Brigedier Jeneral Mohamed Fauzi Kamis. – airtimes.my

Galeri Gambar:

Related Articles

Leave a Reply