Home PolitikPakatan Harapan Isu Perak: Sedia kerjasama dengan UMNO bukti DAP bukan anti Melayu dan Islam

Isu Perak: Sedia kerjasama dengan UMNO bukti DAP bukan anti Melayu dan Islam

by Air Times News Network

KUALA LUMPUR, 8 Dis – Kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO bagi membentuk kerajaan negeri membuktikan dakwaan bahawa mereka anti Melayu atau anti Islam selama ini adalah tidak benar sama sekali.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, keputusan ini dibuat dengan mengambil kira situasi di Perak di mana tiada satu parti yang mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan yang stabil berikutan kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) di Perak pada Jumaat lalu.

“DAP Perak telah membuat keputusan untuk bekerjasama dengan UMNO demi membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, kukuh dan stabil,

“Kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO membuktikan dua perkara iaitu DAP adalah parti berjiwa besar yang sanggup meletakkan kesejahteraan rakyat sebagai agenda keutamaan,

“Kedua, momokan DAP adalah “anti Melayu atau anti Islam” selama ini adalah tidak benar sama sekali,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kor Ming turut menegaskan kesediaan DAP Perak untuk bekerjasama dengan UMNO adalah berpaksikan kepada prinsip utama membentuk sebuah kerajaan berbilang kaum yang bersih, berintegriti dan berpandukan kepada prinsip “good governance”.

“Satu perjanjian bertulis perlu dimeterai sekiranya cadangan kerjasama ini mencapai kata sepakat,

“Perlu juga ditegaskan DAP tidak akan berkompromi dengan amalan rasuah atau penyelewengan dalam soal integriti pentadbiran,” ujarnya.

Selain itu, Kor Ming menyatakan mauafakat Pakatan Harapan (PH) disanjung, agenda reformasi tetap didokong.

“DAP Perak tidak akan menyertai kerajaan negeri yang baru tanpa rakan-rakan komponen PH iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR),” tegasnya. – airtimes.my

 

 

Related Articles

Leave a Reply